Pengiklanan

    Hadi: Utamakan Islam kemudian baru integriti


    (Dikemaskini )

    MUKTAMAR PAS | PAS memberi penegasan betapa Islam perlu diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum intergriti walaupun ia tetap diwajibkan agama.

    Presidennya, Abdul Hadi Awang, berkata itulah yang menjadi rahsia mengapa PAS mulakan bertaawun itu dengan kalangan umat Islam dahulu.

    "Maka utamakan iman sebelum budiman, kerana integriti tanpa iman adalah sia-sia di sisi Allah pada hari kiamat nanti. Maka pilih Islam dahulu sebelum integriti yang tetap diwajibkan.

    "Inilah rahsianya mengapa kita mulakan bertaawun itu dengan kalangan umat Islam (terlebih) dulu tanpa membelakangi kaum lain dalam masyarakat majmuk yang menjadi realiti, yang kita iktiraf dan pertahankan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar PAS ke-65 di Stadium Tertutup Sukpa, Indera Mahkota di Kuantan, hari ini.

    Bagaimanapun kata beliau, PAS tetap mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk kerana ia pentunjuk Islam, bukannya bermain politik.

    "Kita buktikan adanya sayap bukan Islam dalam PAS dan adanya pada Umno yang bersifat Melayu-Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar, namun tetap menjalikan rantaian yang tidak putus dengan semua kaum lain.

    "Maka kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini dan tidak berganjak mempertahankan Islam dengan semangat tema yang diteruskan," jelasnya.

    Tambah Abdul Hadi, apa yang lebih penting PAS wajib membina sahsiah dengan petunjuk Islam, menunjukkan model integriti yang tinggi.

    "Walaupun setiap manusia ada sifat kelemahan makhluk, melakukan kesalahan dan dosa, tetapi yarat Islam yang memimpin diwajibkan itu hendaklah dipertahankan.

    "Kerana Islam menjadi syarat wajib semua amalan diterima. Integriti tanpa Islam tidak diterima Allah dan seseorang yang beriman tidak berintergriti tetap lebih baik daripada hanya hanya berintegriti tetapi tidak beriman," katanya.


    N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih