malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Belum ada keputusan khusus isu pindaan perlembagaan Umno'
Diterbitkan:  Jun 21, 2019 10:18 AM
Dikemaskini: 7:15 AM
ADS

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan sebarang perkara khusus berkenaan cadangan pindaan perlembagaan parti yang dijangka dibuat pada perhimpunan agung khas akhir November ini, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Pada masa ini, katanya, perkara itu masih di peringkat awal iaitu mendapatkan pandangan daripada akar umbi dan sayap parti.

"Syor-syor ini akan dibincang dan diteliti terlebih dulu oleh MKT, dijangka pada hujung bulan ini.

"Ini merupakan peringkat pertama daripada enam peringkat yang bakal dilalui sebelum sebarang pindaan dibawa ke perhimpunan agung khas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, peringkat seterusnya ialah taklimat kepada jawatankuasa pengurusan, perbincangan peringkat MKT, taklimat cadangan MKT kepada bahagian, keputusan akhir syor MKT dan barulah dibawa ke perhimpunan tersebut.

"Syor akar umbi akan dibincang dan diteliti oleh MKT, dijangka dalam satu retreat khas hujung bulan ini. 

"Sebarang cadangan MKT (kemudian) akan dibawa untuk ditaklimatkan kepada akar umbi sebelum dibentang di perhimpunan agung khas nanti," katanya lagi.

Sebelum ini beberapa media seperti Malaysiakini dan The Straits Times Singapura melaporkan, sumber berkata antara yang bakal dipinda ialah Fasal 9.9 yang akan melucutkan jawatan parti bagi mereka yang didakwa di mahkamah.

Pindaan itu boleh membawa kepada penyingkiran beberapa pemimpin parti itu, seperti presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti dan bekas presiden Najib Razak yang kini mengetuai Umno Bahagian Pekan.

Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan Annuar dan dan naib presiden Khaled Nordin yang mengetuai jawatankuasa yang mengutip pandangan dan membuat kajian berkenaan pindaan itu.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata kenyataan yang merujuk secara spesifik pindaan itu buat masa ini hanyalah spekulasi dan tidak menggambarkan perkara sebenar.

Katanya lagi, pindaan yang bakal dibuat nanti bertujuan menjadikan Umno lebih sesuai dengan tuntutan semasa.

MKT akan mencadangkan usul melalui perhimpunan agung khas nanti untuk meminda beberapa fasal tertentu," katanya lagi.

Lihat Komen