malaysiakini logo
story-image
ADS

MUKTAMAR PAS | Ibarat ular bisa sedang menjalar - PAS tidak pernah tumpul taringnya walaupun tiada geger waima sehingga ke hari pengundian bagi memilih saf kepemimpinan parti itu hari ini.

Itulah beza besar pada PAS berbanding parti siasah lain di negara ini. Masing-masing enggan menggalas jawatan penting selagi boleh, kecuali apabila tiada pilihan diberi, atau demi maslahah ummah. Atau seperti ulama tersohor mereka, Mokhtar Senik, yang beristikharah berkali-kali sebelum memberikan persetujuan menjadi calon.

Apa pun, ketika pertandingan untuk jawatan tertinggi hari ini hanyalah di peringkat naib presiden, tulisan kali ini akan cuba melihat secara umum potensi tiga penyandang dan seorang muka baru yang cuba mengintai peluang memberikan nafas baru kepada PAS.

Mohd Amar Nik Abdullah

Daripada semua calon, boleh dikatakan beliau adalah tokoh paling kanan dan selamat untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib presiden sekali lagi. Jika ia menjadi kenyataan, tempoh 2019 dan 2021 ini adalah penggal ketiga buat timbalan menteri besar Kelantan itu.

Secara mudah adun Panchor itu boleh dianggap sebagai gergasi PAS yang tidak ada sebab untuk disingkirkan oleh perwakilan yang hadir mengundi petang nanti.

Mohd Amar dilihat memberikan 'persembahan' yang baik sebagai ahli politik sama ada dengan memakai lencana pimpinan kerajaan negeri, atau mengenakan topi pimpinan parti peringkat kebangsaan.

Sejak penggal pertama lagi nama beliau pantas melonjak ke persada aliran perdana dunia politik tanah air. Sesuai dengan kedudukannya sebagai orang penting dalam organisasi, Mohd Amar berani menonjolkan diri dalam apa jua situasi.

Ketika PAS berdepan krisis dalaman pada 2015, beliau antara orang yang sering menjadi rujukan media untuk mendapatkan bahan berita. Dan situasi itu berlanjutan sehingga ke hari ini.

Di Kelantan, Mohd Amar adalah rujukan utama dan mudah media untuk bertanyakan pelbagai isu berkait kerajaan negeri dan PAS. Atas kapasiti timbalan menteri besar dan naib presiden PAS, beliau menggerhanakan sinar pimpinan lain PAS di negeri Serambi Mekah itu, termasuk bosnya, Ahmad Yakob.

Mohd Amar

Suaranya lantang, kata-katanya berterus terang dan berani. Sebarang buah fikir dilontar dengan lancar dan nyata.

Sama ada menghentam musuh atau mempertahankan parti Mohd Amar lincah menyusun silat. Di atas pentas beliau bijak berceramah. Sesekali beliau seumpamanya pakar silap mata yang memukau.

Walaupun sesekali akan ada kenyataannya yang kelihatan lucu, tetapi itulah seorang Mohd Amar - politikus yang sentiasa mempamerkan sikap bersiaga dalam segenap hal. Sebagai bekas ahli akademik yang pakar dalam ilmu wahyu, pengetahuannya dalam isu-isu nasional juga memberi nilai tambah dalam karier politiknya.

Jika mahu dikupas dengan lebih mendalam, mungkin banyak hal yang dapat perincikan, dan pelbagai faktor yang tidak dapat dinyatakan di sini. Tetapi dalam susunan ayat ringkas dan mudah, ia adalah begini: Mohd Amar masih diperlukan PAS untuk kekal berada di posisi naib presiden.

Tambahan pula tiada calon lain yang ditawarkan oleh Kelantan.

Negeri Cik Siti Wan Kembang itu bakal sunyi tanpa Mohd Amar menjawab isu-isu politik. Beliau susuk sesuai untuk terus merancakkan senario dan perjalanan politik Kelantan yang hari ini semakin membangun dan dijanjikan perhatian oleh kerajaan PH.

Selain itu dengan andaian Ahmad Yakob akan melepaskan jawatan menteri besar dalam tempoh beberapa tahun ke depan, ini adalah waktu paling afdal untuk Mohd Amar mempersiapkan diri sebaiknya untuk menjadi pelapis menteri besar.

Iskandar A Samad  

Bekas exco kanan Selangor ini banyak berkorban demi PAS.

Menjadi pemimpin dan aktivis parti di negeri seperti Selangor pada era parti itu belum menembusi tembok yang memisahkan Islam dan bukan Islam sebelum ini bukanlah mudah.

Selangor bukanlah Kelantan mahupun Terengganu. Tetapi di Selangor itulah Iskandar bergerak dengan gigih dan sabar. Ketika PAS mula diterima oleh bukan Melayu dan Islam, Iskandar menyertai wakil-wakil rakyat lain menduduki kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

PAS For All memudahkan langkah tersebut.

Namun percaturan politik PAS yang penuh berwawasan membawa Iskandar dan pemimpin lain di Selangor ke tempat yang lain pula. Mereka berada dalam kelas tersendiri sehingga sekarang.

Iskandar Samad

Kendatipun masih menggalas jawatan naib presiden, nama Iskandar agak jarang didengar. Bagi peminatnya, hantaran di media sosial bolehlah jadi penawar. Di situ Iskandar menurunkan idea-idea bernas beliau dalam pelbagai isu, termasuk yang berlaku di peringkat antarabangsa.

Parti juga menghargai kebolehan Iskandar dengan "menaikkan pangkatnya" sebagai pengelola PAS bagi negeri-negeri tengah dan selatan. Maka hal-hal berkaitan Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor terletak dalam bidang kuasa arkitek berusia 58 tahun itu. 

Adakah beliau wajar dipertahankan perwakilan PAS hari ini?

Jika PAS mahu melihat keseimbangan di antara kemahiran membina negara dan masyarakat, serta pengalaman mentadbir serta profesionalisme, Iskandar adalah orangnya.

Berbanding dua penyandang, Iskandar satu-satunya naib presiden yang bukan dalam kalangan ulama.

Namun, kelebihan itu jugalah yang mungkin menyumbang kepada kekurangannya. Hal itu kerana bukan Iskandar seorang saja yang bukan ulama yang dicalonkan ke tempat naib presiden.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Saintis dan pakar aeroangkasa ini bukan calang-calang orang. Semasa insiden pesawat MAS MH370 mengejutkan dunia pada 8 Mac 2014 dulu, Ahmad Samsuri antara pakar yang menjadi rujukan orang ramai dan media.

Empat tahun kemudian Ahmad Samsuri yang sama itulah pula menjadi pakar rujukan pentadbir serta pemimpin PAS di Terengganu. Bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu diberikan tempat yang selesa untuk bertanding dalam PRU ke-14.

Dalam bahasa lain, PAS menyiapkan Ahmad Samsuri untuk menjadi menteri besar.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Faktor muka baru dalam saingan mengisi salah satu tempat naib presiden bukanlah isu terlalu besar untuk beliau mengetepikan salah seorang 'abang' di situ. Tambahan pula beliau sudah mendapat sentuhan tarbiah secara langsung daripada Abdul Hadi.

Setakat ini tidak pernah kedengaran rungutan daripada mana-mana pihak mengenai prestasi Ahmad Samsuri sebagai menteri besar.

Itu adalah isyarat bahawa beliau mempunyai rekod cemerlang sekali gus mempunyai personaliti yang disenangi kawan dan lawan.

Memang sudah tiba masanya, ketua pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS itu diberikan peluang untuk menjawat jawatan yang lebih besar dalam parti.

Idris Ahmad

Nama beliau begitu sinonim dengan institusi agama dan pondok. Di utara Perak, Idris melengkapkan ketokohan dua lagi anak Tuan Guru Haji Ahmad Kampung Petai, iaitu Zakaria dan Hassan.

Berbanding calon yang lain, Idris adalah satu-satunya naib presiden yang istiqamah membuat Catatan Dhuha di akaun Facebook beliau. Ia adalah petikan kata-kata hikmah yang boleh dijadikan panduan sehari-hari.

Berpengalaman sebagai anggota parlimen selama satu penggal Idris adalah susuk yang penting untuk mewakili PAS di sektor utara Semenanjung Malaysia. Beliau adalah 'suara' untuk anggota dan penyokong PAS di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pengalamannya sebagai pensyarah juga wajar dimanfaatkan secara berterusan oleh parti. Ia memang wajar kerana di atas pentas dan di depan mikrofon Idris adalah orator yang mempersona.

Idris Ahmad

Justeru beliau selalu sibuk untuk memenuhi jemputan berceramah di sana sini. Ketika PAS perlu memahamkan dan meyakinkan anggota serta penyokongnya agar menerima kerjasama dengan Umno, tugas itu boleh digalas Idris, 55, dengan baik.

Ketiadaan Idris mungkin tidak akan dirasai sangat jika seorang lagi tokoh besar PAS, Razman Zakaria, bertanding untuk jawatan naib presiden. Namun Razman hanya bertanding untuk tempat dalam jawatankuasa pusat PAS.

Maka perwakilan keempat-empat negeri itu tidak ada pilihan lain kecuali memberikan salah satu undi mereka kepada Idris.

Apa pun, semuanya terserah kepada kira-kira 1,300 perwakilan PAS dari seluruh negara yang akan mengundi petang nanti. Pilihlah dengan hati yang tenang dan fikiran yang terbuka.

Sementelah pula pemilihan dijalankan di antara tempoh perwakilan selesai menunaikan solat Jumaat, dan sebelum menikmati jamuan disediakan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Semoga keberkatan akan menyertai PAS dalam peti-peti undi nanti.


Tulisan ini disediakan oleh N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim dan Al-Abror Mohd Yusuf.

Lihat Komen