malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-29: Perbelanjaan di Bangkok, Abu Dhabi ditanggung - saksi utama
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-27 hari ini.

Malaysiakini membawa liputan secara langsung perbicaraan tersebut.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

6.00pm - Terima kasih kerana mengikuti laporan perbicaraan pada hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemaskini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.


Mahkamah gamam, hakim cadang prosiding sampai jam 9

Beliau membuat saranan tersebut ketika DPP perbicaraan ditangguhkan hari ini.

5.08pm - Apabila hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mencadangkan prosiding akan diteruskan sehingga jam 9 malam ini, seluruh mahkamah tergamam dan kemudiannya bertukar lucu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membuat saranan tersebut ketika DPP Ishak Mohd Yusoff meminta prosiding ditangguhkan buat hari ini dan memohon tarikh baru bagi perbicaraan disambung semula.

Terdahulu hari ini, Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela Najib Razak bertanya sekiranya prosiding yang dijadualkan esok boleh ditangguhkan.

Ini kerana Shafee berkata beliau mempunyai urusan di Mahkamah Rayuan berhubung permohonan untuk mendapatkan passportnya kembali buat sementara berubung kes pengubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta.

Ishak: Jika dapat, bolehkah kita tetapkan satu tarikh lain (untuk meneruskan pemeriksaan utama terhadap bekas pengarah bukan eksekutif SRC International, Suboh Md Yassin) memandangkan kerana saya masih memiliki banyak soalan.

Nazlan: Boleh teruskan sampai jam 9?

Ishak: Maksudnya malam ini? (Kedengaran tawa kecil berderai di mahkamah).

Apabila Ishak bertanya kepada Harvinderjit Singh jika pasukan pembelaan tiada masalah dengan hal ini, peguam Najib menjawab dia tiada masalah.

Ishak kemudiannya memberitahu Nazlan mereka juga prihatin sekiranya Suboh boleh meneruskan memberikan keterangan lisan sehingga 9 malam ini.

Bagaimanapun, Nazlan membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan dan perbicaraan kes akan disambung semula pada 1 Julai depan.

Dari Bangkok ke Abu Dhabi - Suboh kata perbelanjaan ditanggung

3.35 petang: Saksi ke-42 Suboh Md Yassin berkata, selepas dia dan isteri lari ke Bangkok selama sebulan pada 2015, mereka menerima tiket penerbangan ke Abu Dhabi daripada seorang lelaki Thai.

Kata bekas pengarah SRC International itu, mereka pun terbang ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu itu dan bertemu seorang lelaki Arab yang membawa mereka ke Rosewood Hotel - di mana mereka menginap selama seminggu.

Menurutnya lagi, semua perbelanjaan mereka ditanggung, termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

"Tetapi saya tidak tahu siapa yang menanggung kos tersebut," katanya.

Katanya, dia dan isteri kemudian pulang ke Malaysia melalui Bangkok.

Bagaimanapun tidak dinyatakan bilakah ia berlaku.

Katanya, selepas pilihan raya, dia menerima panggilan daripada Nik Faisal Ariff Kamil yang sekali lagi mengarahkannya untuk meninggalkan Malaysia untuk mengelakkan diri daripada siasatan pihak berkuasa.

(Suboh tidak menyatakan dengan jelas - sama ada ia pilihan raya umum atau pilihan raya kecil)

"Saya membuat keputusan untuk tidak melarikan diri lagi dan untuk kekal di Malaysia dan membantu siasatan pihak berkuasa," katanya lagi.


'Saya diarah keluar dari Malaysia, tak bantu siasatan SPRM'

3.30 petang: Saksi utama perbicaraan SRC International Suboh Md Yassin memberi penjelasan berkenaan kehilangannya pada 2015.

Ketika pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Mohd Yusoff, bekas pengerah bukan eksekutif SRC International itu berkata dia menghubungi SPRM untuk membantu siasatan ketika isu berkenaan syarikat itu menjadi topik panas pada masa itu.

Bagaimanapun sebelum sempat berbuat demikian, Subuh berkata dia menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali yang mengarahkannya agar meninggalkan Malaysia.

"Pada 2015, saya ada menghubungi pejabat SPRM untuk membuat temu janji berjumpa untuk menjelaskan berkenaan SRC yang sedang disiasat mereka. (Tetapi) sebelum saya pergi ke pejabat SPRM, saya menerima panggilan daripada seorang yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil SPRM.

"(Dia) menyatakan kepada saya agar tidak pergi ke pejabat SRPM seperti yang dijanjikan dan mengarahkan saya untuk meninggalkan Malaysia," katanya ketika membaca keterangan bertulisnya.

Ishak kemudian bertanya Suboh apa yang ingin diberitahunya kepada SPRM pada masa itu.

Suboh berkata dia mengambil inisiatif untuk menjelaskan apa yang diketahuinya berkenaan SRC International yang menjadi perhatian ketika itu.

Ishak: Anda kenal pemanggil itu?

Suboh: Saya tak cam suaranya.

Ishak: Dia perkenalkan diri?

Suboh: Dia hanya kata dari SPRM.

Ishak: Anda tahu dia (mungkin) orang apa?

Suboh: Dia bercakap dalam bahasa Melayu.

Suboh memberitahu mahkamah bahawa dia takut dengan apa yang berlaku ketika itu serta hakikat bahawa Najib Razak masih berkuasa sebagai perdana menteri.

Maka, katanya, dia mengambil keputusan untuk lari ke Bangkok bersama isteri dan tinggal di sana kira-kira sebulan.

Suboh berkata dia menanggung sendiri perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Ketika Ishak bertanya Suboh mengapa dia takut kepada Najib, saksi itu berkata dia juga menerima panggilan daripada bekas CEO dan pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang turut mengarahkannya agar melarikan diri.


2.38 petang: Perbicaraan disambung dengan pemeriksaan utama terhadap bekas pengarah SRC International yang menjadi saksi ke-42, Suboh Md Yassin.


1 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat dan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang. 


'Najib tak keluar ketika kabinet bincang jamin pinjaman SRC'

12.10 tengah hari: Bekas timbalan ketua setiausaha (kabinet) Mazidah Abdul Majid berkata perdana menteri merangkap menteri kewangan sebelum ini Najib Abdul Razak tidak pernah keluar daripada mesyuarat kabinet pada 2011 dan 2012 ketika perbincangan berkaitan cadangan pusat menjamin pinjaman SRC lebih RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Mazidah Abdul Majid

Mazidah mengesahkan perkara itu ketika sesi soal balas peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Dalam kes SRC (perbincangan kabinet berkenaan pemberian jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion), anda sebut (dalam keterangan lisan sebelum ini) tiada orang keluar (dari mesyuarat ekoran konflik kepentingan)?

Mazidah: Saya kata tiada siapa keluar.

Shafee: Anda tak kata sama ada dia (Najib) patut keluar?

Mazidah: Saya tidak beri pandangan (tentang perkara ini).

Mazidah setuju dengan kenyataan Shafee bahawa jika ada sebarang isu dengan Najib memiliki konflik kepentingan berkenaan perbincangan kabinet tentang SRC International, maka menteri-menteri yang ada ketika perbincangan itu patut membangkitkannya.

Shafee: Setiap menteri kabinet, jika mereka tahu (tentang sebarang konflik kepentingan melibatkan Najib dan SRC International), mereka akan mengingatkan (Najib ketika mesyuarat kabinet). Ada empat atau lima peguam (menteri yang berlatarbelakang bidang guaman), mereka akan ingatkan tetapi berdasarkan ingatan anda tiada banyak perbahasan tentang perkara itu, ia berjalan dengan lancar.

Mazidah: Ya.


Afidah: Orang atasan kata SRC "syarikat perdana menteri"

10.45 pagi: Pegawai Kementerian Kewangan yang menjadi saksi ke-41 perbicaraan, Afidah Azwa Abdul Aziz berkata orang atasannya memintanya menyegerakan proses permohonan SRC International untuk mendapat jaminan kerajaan kerana ia "syarikat perdana menteri".

Ketika pemeriksaan semula oleh DPP Suhaimi IBrahim, Afidah berkata perkara itu diberitahu oleh setiausaha bahagian pengurusan pinjaman, pasaran kewangan dan akutari kementerian itu, Maliami Ahmad.

Afidah yang ketika itu menjadi timbalan setiausaha jabatan itu ditugaskan memproses permohonan SRC International bagi mendapatkan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM2 bilion daripada KWAP, yang diperolehi kemudian pada tahun sama.

Terdahulu ketika pemeriksaan balas dengan pembelaan, dia berkata digesa untuk menyegerakan permohonan itu.

Suhaimi: Puan kata digesa (ketika proses permohonan). Dan puan ada buat complain kepada Maliami, ketua jabatan ketika itu?

Afidah: Ya.

Suhaimi: Dan dia kata terima arahan (untuk percepatkan proses). Puan soal lanjut arahan siapa?

Afidah: Seingat saya, ada.

Suhaimi: Apa yang dikatakan oleh Maliami?

Afidah: (Dia kata) Ini arahan dari atasan.

Suhaimi: Ada tanya lebih lanjut lagi?

Afidah: Saya ada bertanya kenapa perlu disegerakan dan Encik Maliami jawab "ini adalah syarikat PM".

Jawapan itu dibantah peguam bela Yusof Zainal Abiden, yang berkata Afidah sebelum ini hanya berkata Maliami hanya memberitahunya bahawa ia adalah arahan.

Menurutnya, ketika disoal Shafee, Afidah memberitahu mahkamah bahawa dia menerima jawapan Maliami.

Afidah Azwa

DPP V Sithambaram kemudian mencelah dengan berkata ia adalah soalan susulan kepada pemeriksaan balas oleh Shafee tadi.

Mereka kemudian bertelagah berkenaan sama ada testimoni Afidah itu boleh diterima. Pihak pembelaan berkata ia adalah bukti khabar angin (hearsay).

Pasukan pendakwaan bagaimanapun mempertahankan kenyataan Afidah dan berkata dia menerangkan apa yang diberitahu oleh orang atasannya.

Sithambaran juga berkata ia bukan bukti khabar anging memandangkan mereka akan turut memanggil Maliami untuk memberi keterangan dan mahkamah boleh bertanya tentang perkara ini kepadanya nanti.

Selepas kedua-dua pihak berhujah selama 10 minit, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan dia membenarkan jawapan itu atas sebab ia timbul daripada jawapan Afidah ketika pemeriksaan balas sebelumnya.


Saya digesa percepat permohonan jaminan SRC - saksi

9.55 pagi: Afidah berkata dia ditekan oleh orang atasannya agar mempercepatkan proses permohonan SRC International untuk mendapatkan jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada 2011.

Timbalan setiausaha bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan yang menjadi saksi ke-41 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan Muhammad Shafee Abdullah.

Dia menjelaskan apa maksudnya apabila berkata "digesa" oleh orang atasannya ketika itu, Maliami Hamad. 

Shafee: Saya katakan perkara ini diminta untuk dipercepat (oleh Maliami) tetapi puan bukan digesa untuk siapkannya.

Afidah: Saya digesa.

Shafee: siapa yg gesa puan?

Afidah: Encik Maliami.

Shafee: Dia orang atasan puan?

Afidah: Tidak lagi.

Shafee: Maka lebih senang untuk anda jelaskan sekarang.

Afidah juga berkata dia tidak mencatatkan sebarang rungutannya berkenaan perkara itu.


'Kami hanya menjawab kepada perdana menteri'

9.45 pagi: Timbalan setiausaha bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz berkata pada Ogos 2011 seorang wakil SRC International memberitahu mereka "hanya menjawab kepada perdana menteri".

Beliau menjelaskan apa yang berlaku ketika perjumpaannya dengan wakil itu, Zahid Taib, serta bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil berkenaan permohonan syarikat itu untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada 2011.

Ketika pemeriksaan balas dengan Muhammad Shafee Abdullah, Afidah berkata jawapan Zahid itu selepas dia meminta maklumat tambahan berkenaan permohonan tersebut.

Afidah: Ketika kami cuba dapatkan maklumat daripada SRC International, jawapan yang diterima hanyalah "kami hanya menjawab kepada PM".

Shafee: Siapa beritahu puan begitu?

Afidah: Zahid.

Shafee: Puan terima (jawapan itu) bulat-bulat? Tak complain kepada orang lain? Sebab tugas puan siapkan dokumen berharga yang dipercayai kabinet.

Afidah: Saya telah laporkan kepada ketua saya (Maliami Ahmad).

Shafee: Maliami tak berapa endah dan puan akhirnya terima keadaan itu?

Afidah: Ya.


9.27 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun dimulakan.


9 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam sementara menunggu perbicaraan bermula.

Turut ada ialah DPP V Sithambaram dan anggota pasukan pendakwaan lain, serta pasukan peguam bela bekas perdana menteri.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tiba tidak lama kemudian.


8.52 pagi: Hari ini perbicaraan Najib Razak atas dakwaan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd bakal memanggil dua saksi, Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid.

Perbicaraan hari ini mungkin dimulakan dengan pemeriksaan balas terhadap Afidah, saksi ke-41, yang mendedahkan dua perkara mengejutkan berkenaan status hutang SRC International semalam.

Pertama, dia memberitahu mahkamah bahawa syarikat milik penuh Minister Of Finance Inc bukan saja gagal membayar pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tetapi juga tidak membayar faedah.

Ia bertentangan dengan laporan media sebelum ini yang memetik KWAP yang berkata syarikat itu sentiasa membuat bayaran sejak 2016.

Kedua, Afidah mendedahkan kerajaan persekutuan memberi pinjaman RM642 juta kepada SRC International antara 2015 hingga 2017 agar syarikat itu dapat membuat bayaran faedah.

Ia menambah beban kerajaan yang sudah pun menjadi penjamin kepada hutang RM4 bilion itu.

Pasukan pembelaan juga mungkin meneruskan pemeriksaan balas dengan saksi ke-40, Mazidah. Sesi itu tertangguh semalam kerana dia perlu memberikan beberapa dokumen berkaitan mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Najib.

Dua hari lalu, Mazidah berkata mesyuarat kabinet pada Ogos 2011 dan Februari 2012 meluluskan resolusi agar kerajaan menjamin dua pinjaman SRC daripada KWAP.

Lihat Komen