malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti P Pinang: Azmin, Haziq tak perlu 'sumpah laknat'
ADS

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz tidak perlu melakukan sumpah laknat (mubahalah) susulan isu klip video intim.

Sebaliknya, Dr Wan Salim menyarankan individu yang dikaitkan dengan penularan video intim didakwa membabitkan Azmin perlu menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

Bahkan, kata mufti lagi, menurut perundangan syariah, Haziq yang membuat pengakuan melakukan aksi ranjang bersama lelaki didakwa sebagai Azmin boleh dikenakan hukuman qazaf.

Jelasnya, Haziq yang juga setiausaha sulit kanan timbalan menteri industri utama masih berpeluang untuk menarik balik tuduhannya itu.

"Pihak berkaitan perlu jumpa dan berunding, selesaikan cara baik. Tidak perlu bersumpah (mubahalah).

"Perkara ini tak perlu dibesarkan, dalam Islam apa juga aib orang tidak patuh didedahkan, apatah lagi aib diri sendiri.

"Kalau ikut hukum Islam, dia (Haziq) boleh dikenakan hukuman Qazaf, rotan. Tetapi, dia masih boleh menarik balik tuduhan berkenaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sumpah mubahalah adalah perbuatan saling mendoakan supaya laknat Allah dijatuhkan terhadap pihak yang berbohong di dalam perselisihan, manakala qazaf pula adalah kesalahan syariah yang merujuk perbuatan melemparkan tuduhan zina tanpa saksi.

Beberapa klip video aksi lucah seks sejenis di ranjang tular minggu lalu.

Haziq juga mendakwa aksi lucah itu dirakamkan di sebuah bilik hotel di Sandakan semasa pilihan raya kecil bulan lalu tanpa pengetahuan dan kerelaannya.

Azmin bagaimanapun tampil menafikan tuduhan itu dan menyifatkan video itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pihak polis kini sedang menyiasat video berkenaan dan Azmin mendakwa penyebaran video berkenaan dibuat oleh "orang dalam" parti itu sendiri.

Bagi Wan Salim, sekiranya seseorang mengetahui tentang aib atau kemungkaran dilakukan oleh orang lain, Islam mengajar pendekatan yang berhikmah.

"Islam tak galak selidik bagi mencari aib orang, kalau tahu orang buat kerja tak baik (kemungkaran) panggil dan nasihat serta memintanya bertaubat.

"Begitu juga seseorang itu (hanya) boleh dihukum mengikut Islam berdasarkan kepada pengakuan empat orang saksi dan ada bukti," katanya.

Lihat Komen