malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis sahkan anak Mat Sabu didakwa 13 Jun lalu
Diterbitkan:  Jun 19, 2019 4:52 PM
Dikemaskini: 8:54 AM
ADS

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat hari ini mengesahkan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah dihadapkan ke mahkamah pada 13 Jun lalu.

Kamarulzaman dipetik oleh portal Harian Metro sebagai berkata, Ahmad Saiful, 31, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diberi ikat jamin RM3,000.

“Pihak pendakwa raya sudah menuduhnya pada 13 Jun lalu dan diberi ikat jamin sebanyak RM3,000.

“Tertuduh sedang menunggu untuk dibicarakan di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Anak menteri pertahanan itu bersama seorang lagi rakannya ditahan pada 6 Januari lalu, selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Mereka ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

Mohamad sebelum ini juga dilaporkan berkata anaknya sama seperti anak orang lain yang tertakluk kepada proses undang-undang negara.

Lihat Komen