malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kematian 15 Orang Asli suku Bateq di Gua Musang
ADS

KINIGUIDE | Kematian 15 Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan sejak awal Mei adalah kisah menyayat hati melibatkan penduduk luar bandar.

Tragedi itu mendedahkan kurangnya kemudahan rawatan kecemasan dan menimbulkan persoalan sama ada kemusnahan habitat semulajadi atau pencemaran air mungkin punca di sebalik kematian itu.

Angka kematian antara lapan hingga 10 orang dicatatkan dalam masa sebulan pada 2 Jun lalu, ketika sebuah NGO yang bekerja dengan Orang Asli, Sahabat Jariah, memaklumkan di Facebook mengenai penduduk yang meninggal dunia akibat penyakit misteri.

Satu lagi NGO, Klima Action Malaysia melancarkan kutipan derma untuk membekalkan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan ke kampung yang dilanda penyakit itu.

'Kampung ditutup kepada orang luar'

Pada 9 Jun, berita tersebar seluruh negara apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy tiba di Gua Musang. Pembantu beliau mengesahkan bahawa terdapat 14 kematian di kampung itu sejak awal Mei.

Kampung itu tidak lama kemudian ditutup kepada orang luar dan diisytiharkan sebagai zon merah.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata langkah itu adalah untuk mengurangkan penyebaran jangkitan pneumonia yang boleh disebarkan melalui pernafasan.

Kementerian Kesihatan mengumumkan sedang menjalankan ujian untuk mengesan punca jangkitan dan ujian terhadap leptospirosis dan tuberkulosis, kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Colin Nicholas, pengarah eksekutif Pusat Keprihatinan Orang Asli, memberitahu Malaysiakini bahawa masalah utama adalah habitat semula jadi bagi suku Bateq yang telah dimusnahkan.

"Masalahnya bukan perubatan, tetapi kesan daripada apa yang terjadi ketika hak rakyat di tanah adat mereka tidak diakui dan tanah itu dimusnahkan."

"Hanya tujuh hingga 10 tahun yang lalu, jika kamu melawat mereka, mereka sihat dan baik secara psikologi, tetapi tanah mereka telah diambil, dalam kes ini oleh kerajaan negeri Kelantan. Dan sumber mereka telah musnah," katanya.

Pandangan yang sama disuarakan oleh Dr Steven Chow yang telah melawat masyarakat Orang Asli tersebut pada 28 April,  seminggu sebelum kematian berlaku.

Chow berkata "ini adalah masyarakat yang ketinggalan, mati kerana diabaikan.

"Selepas tanah mereka diambil untuk dibuka ladang, orang-orang ini dibiarkan terkontang kanting dan hampir terputus dari sumber hutan yang dahulu tempat mereka bergantung bagi kehidupan mereka."

Amalan tradisional

Bedah siasat awal menunjukkan dua penduduk Bateq meninggal dunia akibat radang paru-paru, tetapi arahan dikeluarkan agar mayat mereka diambil semula.

Sebanyak 12 mayat perlu diambil semula kerana ia telah disemadikan mengikut kepercayaan tradisional.

Amalan persemadian tradisional Bateq adalah mayat dibungkus di atas pokok dan dibawa ke seberang sungai, yang menurut sistem kepercayaan mereka, menghalang semangat roh kembali ke kampung.

Mayat itu akan diletakkan di pokok tinggi dan ditinggalkan hingga mereput. Tanah perkuburan dianggap tabu oleh suku Bateq.

Pada 14 Jun, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan penemuan Jabatan Alam Sekitar bahawa tiada pencemaran air dari perlombongan bijih mangan di Aring 10, terletak tiga kilometer dari Kampung Kuala Koh.

Som Ngai, 50 yang kehilangan suaminya, Hamdan Keladi dan tiga orang anak dalam tempoh dua minggu menyatakan kesedihannya dalam satu temubual.

"Saya masih sedih, bayangkan rasa sakit dan penderitaan suami dan anak-anak saya.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa, walaupun memasak dan mencucui. Saya sangat sedih melihat keadaan mereka. Hanya terbaring dan tidak dapat makan atau minum," katanya.

Pada 16 Jun dilaporkan lebih 150 orang Orang Asli dari suku Semaq Beri telah meninggalkan rumah mereka di Sungai Berua, Terengganu kerana kemasukan penduduk Bateq yang melarikan diri dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, sejak dua minggu lalu.

Bayi mangsa ke-15

Pada hari yang sama, seorang bayi, Nasri Rosli menjadi mangsa ke-15 yang meninggal dunia di sebuah hospital di Kota Bharu akibat demam campak.

Kementerian Kesihatan juga mengenal pasti campak sebagai penyakit yang menjejaskan komuniti Bateq. Sebanyak 37 daripada 112 anggota masyarakat yang dilaporkan mengalami jangkitan saluran pernafasan, telah dijangkiti demam campak, kata Dr Dzulkefly.

Beliau berkata kes-kes ini disahkan oleh ujian makmal manakala keputusan untuk penyakit lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan virus korona adalah negatif.

Usaha untuk mengesahkan punca kematian lain masih diteruskan.

Dr Chow mengatakan bahawa wabak campak adalah penjelasan yang munasabah untuk menjelaskan mengenai kematian berkenaan, namun tindakan menghubungkan cara kehidupan masyarakat berkenaan dengan tragedi itu adalah tidak adil.

Beliau menolak pendapat bahawa penduduk kampung tidak berminat untuk disuntik dan menolak dakwaan gaya hidup nomad dan amalan pengebumian Bateq mungkin memainkan peranan dalam punca kematian.

Bekas Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam berkata kemungkinan kematian akibat campak mencerminkan ketidakupayaan Orang Asli untuk "mempertahankan diri daripada penyakit yang disebabkan oleh kekurangan zat makanan, dan mungkin pertahanan imun yang lemah."

Beliau berkata warganegara Malaysia menjadi mangsa kepada penyakit yang mudah diubati pada hari ini dan zaman ini.


Kiniguide ini disusun oleh MARTIN VENGADESAN

Lihat Komen