malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Talian WhatsApp aduan larangan merokok disekat
Diterbitkan:  Jun 19, 2019 3:46 PM
Dikemaskini: 7:49 AM
ADS

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa talian perkhidmatan bagi menerima aduan berhubung larangan merokok di premis makanan sudah disekat oleh WhatsApp.

"Menurut maklumat yang saya terima, sekatan itu berlaku selepas terdapat aduan daripada orang ramai yang mendakwa talian perkhidmatan itu melanggar terma dan syarat WhatsApp," kata Dzulkefly dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan media sebelum ini memetik sumber dari Kementerian Kesihatan yang menyatakan bahawa antara terma dan syarat WhatsApp adalah berhubung pencerobohan ruang peribadi .

"Kami kini sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk melihat bagaimana kita boleh menyediakan ruang aduan di WhatsApp tanpa dituduh melanggar peraturan," kata sumber dipetik Free Malaysia Today.

Semakan Malaysiakini mendapati mesej yang dihantar ke talian itu melalui WhatsApp tidak mempunyai tanda yang menunjukkan mesej itu berjaya diterima.

Dzulkefly berkata pihak kementeriannya akan berbincang dengan Facebook, yang merupakan pemilik WhatsApp, secepat mungkin untuk mencapai penyelesaian munasabah berhubung perkara itu.

Antara polisi peribadi WhatsApp yang dinyatakan di laman web rasminya ialah: "Anda tidak boleh menggunakan (atau membantu pihak lain menggunakan) perkhidmatan kami untuk: (a) melanggar, menyalahgunakan, atau menceroboh hak WhatsApp, pengguna kami, atau pihak lain, termasuk peribadi, umum, harta intelek, atau hak lain".

Talian itu sebelum ini dibuka untuk membantu orang awam membuat laporan berhubung pelanggaran larangan merokok di premis makanan dengan menghantar gambar dan lokasi kesalahan dilakukan.

Dzulkefly berkata, talian berkenaan juga bertujuan memudahkan orang awam menerima maklumat, bertanya soalan atau mendapatkan nasihat tentang larangan merokok di premis makanan.

Bermula 1 Jan lalu, Kementerian Kesihatan memperkenalkan larangan berkenaan, yang sekiranya didapati bersalah, akan didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun, yang boleh dikenakan terhadap pelanggan dan pemilik premis makanan.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan memberi tempoh percubaan selama enam bulan dan seterusnya dilanjutkan sehingga hujung tahun.

Lihat Komen