malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS setuju isu video seks sejenis tak dibangkit di parlimen
ADS

MUKTAMAR PAS | PAS menyambut baik larangan dikeluarakan speaker Dewan Rakyat agar tiada mana-mana anggota parlimen menimbulkan isu mengenai klip video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonom, Azmin Ali, pada persidangan yang akan bermula pada 1 Julai ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti bersetuju dengan arahan tersebut memandangkan ia masih bersifat tuduhan.

"Saya setuju dengan pandangan speaker bahawa isu ini masih bersifat tuduhan, jadi kalau dalam perbicaraan (pun) ia (masih) bersifat pertuduhan.

"Ia tak boleh jadikan tuduhan sebagai fakta benar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali ke-60 di Bukit Gambang Resort dekat Kuantan, hari ini.

Terdahulu Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata, tindakan membangkitkan isu video hubungan intim sejenis itu bercanggah dengan peraturan parlimen kerana ia masih dalam siasatan polis.

"Isu itu tidak boleh dibangkitkan semasa sidang parlimen kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada 17 Jun lalu.

Kenyataan Mohamad Ariff itu sebagai respon kepada kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang, yang sebelum itu menimbulkan persoalan sama ada ahli parlimen akan memberi tumpuan kepada isu berkenaan pada sidang 18 hari nanti, dan bukannya pembentangan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Saya mahu sidang parlimen Julai ini dikenali sebagai parlimen IPCMC, bukannya sidang video seks Haziq,” katanya. 

Sementara itu tambah Tuan Ibrahim tuduhan mengenai video tersebut kekal sebagai tuduhan melainkan ia dibuktikan di mahkamah.

"Saya setuju benda ini tidak perlu dipanjangkan, tak perlu serah kepada media utk dipolemik lagi.

"Akhirnya, kita bimbang takut benda penting kepada rakyat bukan ini, rakyat nak tengok kestabilan ekonomi, kehidupan yang lebih selesa, harga barang boleh turun, kos hidup boleh dikawal. Ini rakyat nak lihat," katanya

Ditanya mengenai ucapan terima kasih Azmin kepadanya susulan nasihat dan sokongan dalam mendepani isu itu, Tuan Ibrahim berkata pendirian PAS dalam isu seperti itu tetap sama.

"Bagi kita ini pendirian PAS, ini bukan baru waktu Anwar Ibrahim dulu pendirian kita pun sama.

"Bahkan Lim Guan Eng kena (tuduh), selagi mahkamah belum putus satu kesalahan, kita tolak. Pendirian kita kekal dan tekal, " jelasnya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen