malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Bekas pegawai saya bebas tegur kerajaan’
ADS

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tidak ada halangan untuk bekas setiausaha akhbarnya, Ahmad Soffian Mohd Sharif menerbitkan "teguran-teguran kepada kerajaan".

Zuraida berkata ini kerana bekas pegawainya itu bebas melakukan apa yang dirasakannya selesa dan suka.

“Tak apalah (kalau dia nak buat teguran kepada kerajaan) sebab dia bebas untuk melakukan apa yang dia rasa dia lebih selesa dan suka, jadi kita biarkanlah.

“Kita demokrasi kan, jadi untuk memberi pandangan, teguran dan sebagainya kita harus menerima dengan berlapang dada,” kata Zuraida ringkas dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam KPKT Bulan Jun 2019, di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Soffian Mohd Sharif 

Ahmad Soffian yang baru meletakkan jawatannya sebagai setiausaha akhbar Menteri KPKT itu semalam mendedahkan beliau kini dalam rangka menyiapkan draf "teguran-teguran kepada kerajaan".

Bagaimanapun, Ahmad Soffian yang bekerja dengan Zuraida Kamaruddin selama lebih dua tahun berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya kata Ahmad Soffian, dia menganggap tugas itu sebagai tanggungjawab peribadi demi kepentingan negara dan rakyat.

Pada masa sama Ahmad Soffian berkata dia tidak pasti sejauh mana pendapatnya mengenai kerajaan akan didengari, namun tetap akan mencuba kerana ia dianggap tugasnya berdasarkan pengalaman pernah bekerja dengan kerajaan.

Sebelum ini Ahmad Soffian mengaku meletakkan jawatannya kerana hilang kepercayaan terhadap pentadbiran PH.

Lelaki berusia 33 tahun itu berkata walaupun memandang tinggi kepada Zuraida, namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai kerajaan PH hari ini.

Lihat Komen