malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video seks: Tiada tempoh tertentu, tapi polis janji siasatan ‘sempurna’
ADS

Pihak polis tidak menetapkan tarikh akhir bagi siasatan berhubung video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Menggesa orang ramai bersabar, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata bahawa siasatan menyeluruh dan teliti akan dilakukan.

“Saya tak dapat berikan sebarang tarikh akhir. Tak ada tempoh tertentu bagi kami.

“Tapi beri kami lakukan siasatan yang sempurna. Jangan terburu-buru,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Beliau juga berkata bahawa pihak berkuasa akan menyoal siasat sesiapa yang dirasakan perlu.

“Siapa saja yang (kita) rasa, daripada analisa siasatan, perlu dipanggil, kita panggillah,” katanya.

Seperti sebelum ini, Mazlan menolak untuk mendedahkan maklumat mengenai siasatan tersebut, tetapi berkata sepasukan petugas yang berdedikasi yang diketuai oleh polis dan SKMM dalam kes itu sedang mengusahakannya.

“Kita jalankan siasatan dan pasukan petugas kita hari-hari mengadakan mesyuarat dan sebagainya,” katanya.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada pihak polis percaya mengenai ketulenan klip video tersebut, Mazlan sekali lagi enggan mengulas, memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan. 

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu keputusan siasatan bagi menentukan ketulenan video lucah yang dikaitkan dengan Azmin, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor berkata siasatan kes berkenaan masih berjalan kerana ia disiasat secara menyeluruh.

Beliau berkata PDRM tidak menetapkan sebarang rangka masa untuk menyiapkan siasatan kes berkenaan.

“Tiada ‘time bar’ atau ‘deadline’ (tarikh akhir) yang ditetapkan dalam kes ini kerana kami mahu melakukan siasatan yang sempurna.

“Siasatan kami ‘across the board’ (menyeluruh), sesiapa saja yang dirasakan perlu bagi membantu siasatan kes ini akan dipanggil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15 sempena Aidilfitri 2019 di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Mazlan dalam pada itu turut menjelaskan tiada tangkapan baharu berkaitan kes berkenaan kerana siasatan sedang berjalan.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam kes video terbabit dan menyifatkan penyebaran video berkenaan berniat jahat untuk merosakkan imej dan prestasi beliau dalam politik.

Lihat Komen