malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Awas keris baru pembunuh jiwa, kata 'pahlawan' PAS
ADS

MUKTAMAR PAS | Berpakaian lengkap seperti pahlawan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata, pada zaman sekarang keris bukan lagi sebilah besi yang tajam.

Sebaliknya kata Tuan Ibrahim, bentuk keris pada era ini sudah bertukar iaitu telefon genggam.

"Orang tanya - apabila saya naik ke pentas - mana keris? Biasanya pahlawan akan ada keris.

"(Kemudian) saya tunjuk pada dia, keris sekarang adalah handphone," katanya.

Walaupun tidak tajam anggota parlimen Kubang Kerian itu tetap mengingatkan bahawa peranti tersebut tetap berbahaya, malah mungkin lebih mengancam berbanding keris tradisional.

"Handphone lebih jauh makamnya daripada keris. Keris boleh membunuh jasad, tapi media sosial boleh bunuh jiwa," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Muktamar Pemuda PAS ke-60 di Bukit Gambang Resort City, dekat Kuantan hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan perwakilan, anggota dan penyokong PAS agar menggunakan media sosial hanya untuk tujuan kebaikan, serta menyebarkan sebarang pesanan disampaikan pimpinan parti.

Arahan dah keluar

Katanya menempuh cabaran media sosial yang terbuka luas, tiada sempadan dan batas yang membezakan halal haram serta tiada batas kebenaran ataupun kebatilan.

"Maka kerana itu gunakanlah sebaik mungkin senjata yang ada. Pastikan kita mendapat pahala dengan media sosial.

"Islam mengajar kita perlu tabayyun (menyelidik) terhadap sesuatu berita. Perlu tabayyun, perlu selidik berita tersebut," katanya.

Kata Tuan Ibrahim PAS sebenarnya tidak begitu bimbang dengan apa yang sudah dikuasai, tapi lebih khuatir suasana anggota dan penyokong mereka tidak mampu mengawal media sosial.

"Ada orang mari tanya, kenapa pemimpin tak buat arahan?

"Kita kata, arahan dah keluar, Ustaz Idris Ahmad (naib presiden PAS) setiap pagi buat Catatan Dhuha tak pernah terlepas (di media sosial), walaupun kadang-kadang lewat sikit.

"Kita keluar kenyataan melalui ketua penerangan, tapi kita tidak mampu mengawal media sosial yang terbuka bebas.

"Apa mekanisme kawalan? Setiap orang bertanggungjawab dengan apa yang ditulis dan dia muat naik.

"Jadikan media sosial sebagai pemangkin bagi memenangkan perjuangan PAS. Anda semua adalah ahli jawatankuasa penerangan bagi parti," katanya.

Tuan Ibrahim juga berterima kasih kepada laskar siber PAS yang membantu parti menjelaskan serta mempertahankan pertubuhan tersebut daripada serangan musuh.

"Kita terima kasih banyak, mereka bekerja tanpa upah, tanpa sebarang saguhati pun.

"Mereka bekerjasa kerana tanggungjawab sebagai pendukung perjuangan PAS. Mudah-mudahan Allah membalas jasa baik," katanya.

  • N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen