malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Kesatuan dipelopori perlu melangkaui politik
ADS

MUKTAMAR PAS | Pemuda PAS berpandangan kesatuan yang dipelopori parti itu perlu melangkaui sempadan politik susulan penguasaan politik Islam semakin lemah selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Justeru ketuanya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dalam semua hal, apa yang lebih penting ialah setiap tindakan PAS sepanjang sejarah politiknya - sama ada bertahaluf atau bertaawun - ia disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan dalam perlembagaan PAS iaitu demi mempertahan Islam.

Katanya, bagi mencapai matlamat ini, PAS sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting dan ia perlu didukung oleh kesatuan dan kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi.

"Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini akan menjadikan kita ummah yang mampu berdiri sendiri dan gagah dalam berdepan dengan ancaman luaran dan dalaman kepada agama Islam dan pemuda Islam.

"Pasca-PRU14 menyaksikan penguasaan politik Islam semakin lemah.

"Islam diserang dari pelbagai sudut, institusi Islam dihina, anak muda hilang jati diri Islam, sensitiviti umat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan Islam sangat rendah.

"Kesempitan hidup kerana kos sara hidup yang tinggi. Maruah umat Islam dicabar saban hari.

"Situasi ini sangat perlu difahami oleh masyarakat agar mereka melihat segala isu yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar dan luas.

"Persoalannya, adakah kesatuan politik mencukupi untuk memperkasa umat Islam di Malaysia?" katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Pemuda PAS Ke-60 di Gambang, Kuantan, hari ini.

Kerangka lebih besar

Muhammad Khalil berkata, kesatuan kesepakatan itu tidak hanya menjadi batu loncatan kepada agenda politik semata-mata, malah ia perlu pergi jauh dari itu.

Menurutnya, kesepakatan dari sudut ekonomi dan aktiviti sosial juga perlu dimulakan kerana penguasaan ekonomi akan membentuk kekuatan material dan kewangan, manakala penguasaan aktiviti sosial akan membangun kesedaran masyarakat untuk sama-sama bertanggungjawab memperjuang nasib mereka.

"Namun saya percaya kekuatan ekonomi umat Islam mesti dibangunkan secara serius sehingga ia menjadi kelebihan yang boleh kita manfaatkan dalam usaha membawa agenda politik dan kemasyarakatan.

"Kesepakatan ini perlu dilihat pada kerangka yang lebih besar iaitu pembinaan keupayaan dan kompetensi generasi anak muda Malaysia yang menjadikan agenda kekuatan ummah sebagai teras dalam melahirkan negara yang sejahtera.

"Pemuda PAS dengan ini menyeru agar semua pihak dalam kesepakatan ini membuka ruang seluas-luasnya untuk belajar dan mengenali kekuatan dan kelemahan masing-masing agar kita saling tampung menampung dalam gerak kerja pada masa akan datang," jelasnya.

Tambah anggota dewan undnagan negeri Batu Buruk itu lagi, beberapa prinsip perlu dipegang oleh pihak berkenaan dalam menjayakan kesepakatan dan kesatuan berkenaan.

Katanya, prinsip yang pertama ialah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan yang lebih komprehensif, iaitu dalam Islam.

"Keadilan dalam Islam mempunyai makna yang lebih luas kerana ia bukan hanya bersifat kebendaan tetapi juga menyentuh perkara spiritual.

"Keadilan dalam Islam melangkaui bangsa dan agama serta memberi jaminan kepada yang bukan beragama Islam hak-hak mereka akan sentiasa terjaga.

"Prinsip kedua yang sangat berkaitan dengan prinsip pertama di atas adalah kita mesti memahami bahawa kesepakatan dan perpaduan ini tidak disandarkan kepada perkauman.

"Prinsip ketiga adalah penyatuan ini mesti memfokuskan agenda penyelesaian isu-isu rakyat tanpa mengira ideologi.

"Prinsip keempat dan terakhir ialah keikhlasan. Setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain namun sentiasa cuba mencari titik persamaan," katanya.

  • N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen