malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MH370: Hisham sangkal laporan penulis Amerika
Diterbitkan:  Jun 19, 2019 9:22 AM
Dikemaskini: 1:34 AM
ADS

Bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menyangkal satu artikel ditulis oleh penulis penerbangan terkenal Amerika, William Langewiesche, yang mendakwa polis Malaysia menyembunyikan maklumat berkaitan kehilangan pesawat MH370 pada 2014.

Hishammuddin yang pada masa itu merupakan jurucakap kerajaan dalam siasatan MH370 berkata, dakwaan Langewiesche adalah usaha untuk mengambil kesempatan ke atas isu berkenaan.

Beliau juga berkata tuduhan itu boleh disangkal dengan mudah oleh pihak berkuasa.

"Tidak pasti apa motif beliau tetapi pihak berkuasa boleh membuktikan dia salah. Anda perlu menghubungi mereka," kata Hishammuddin seperti dilaporkan oleh The Malay Mail hari ini.

Langewiesche sebelum ini menuduh polis Malaysia menyembunyikan butiran terpeinci mengenai juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, dalam laporan dalam talian majalah Amerika, The Atlantic bagi isu Julai.

Beliau menimbulkan semula teori bahawa Zaharie membunuh kesemua 238 penumpang lain dan anak kapal sebelum sengaja menjunamkan pesawat itu ke laut.

Langewiesche mendakwa pihak berkuasa Malaysia di bawah kerajaan BN menyembunyikan maklumat penting untuk menyembunyikan tindakan bodoh dan ketidakcekapan sendiri semasa hari-hari awal kejadian.

Ini diikuti dengan dakwaan bahawa polis Malaysia menyembunyikan fakta mengenai Zaharie, berikutan pemeriksaan latar belakang yang dijalankan, selepas didakwa menemui "aspek kehidupan Zaharie yang sepatutnya menyebabkan mereka menggali lebih mendalam". 

"Jawapan penting mungkin tidak berada dilaut, tetapi daratan, di Malaysia. 

"Itu sepatutnya menjadi tumpuan untuk bergerak ke hadapan. Melainkan mereka tidak cekap selaku pihak berkuasa dan kawalan trafik udara, polis Malaysia tahu lebih berbanding apa yang mereka berani  katakan." 

Penulis bagaimanapun tidak menyokong dakwaannya terhadap juruterbang tersebut.

Ini walaupun laporan yang dikeluarkan oleh Laporan Siasatan Keselamatan MH370 pada Julai lepas menunjukkan "tiada apa-apa yang negatif" mengenai juruterbang itu.

Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia yang juga terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa, juga menafikan menyembunyikan fakta-fakta utama dalam laporan 499 halamannya.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang bersama-sama 227 penumpang dan 12 anak kapal, pada awal pagi 8 Mac 2014, dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pesawat itu hilang komunikasi secara misteri dan menyimpang dari laluan penerbangannya sebelum dilaporkan hilang.

Sehingga kini, hanya beberapa keping serpihan ditemui di darat, termasuk serpihan sayap Boeing 777-200ER itu.



Lihat Komen