malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-28: Tak salah SRC minta MOF percepat jaminan pinjaman - Saksi
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-27 hari ini.

Malaysiakini membawa liputan secara langsung perbicaraan tersebut:


Tak salah SRC minta MOF percepat jaminan pinjaman - Saksi

3.51pm - Saksi Afidah Azwa Abdul Aziz memberi keterangan tiada sebarang kesalahan dengan SRC International menghantar wakilnya kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada 15 Ogos 2011 untuk segera mendapatkan jaminan kerajaan bagi bahagian pertama pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Afidah, seorang pegawai dengan kementerian, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Farhan Read.

Farhan: Tidak salah sekiranya Kementerian Kewangan meminta syarikat itu memberikan penjelasan atau syarikat itu sendiri datang untuk menjelaskan?

Afidah: Betul, tidak ada yang salah.

Pada perenggan ke-12 keterangan saksinya, Afidah berkata SRC International tidak dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk menjelaskan mengapa syarikat itu memerlukan untuk dipercepatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion tersebut.

Sebaliknya, wakil daripada syarikat itu sendiri yang menghubungi kementerian untuk memberikan penjelasan.

SRC International menerima pinjaman RM2 bilion yang pertama daripada KWAP pada Ogos 2011, dan bahagian pinjaman kedua RM2 bilion pada bulan Mac 2012.

Saksi: Beban k'jaan kurang jika akaun di Swiss tak dibeku

2.45pm - Seorang saksi daripada Kemenetrian Kewangan bersetuju bahawa bebanan kerajaan dalam menjamin dua pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mungkin akan berkurangan sekiranya syarikat itu boleh mendapatkan kembali wangnya yang dibekukan di dua akaun bank di Swiss.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44 memebri keterangan ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili tertuduh bekas perdana menetri Najib Razak.

Beliau juga bersetuju salah satu justifikasi yang diberikan SRC International dalam memohon pinjaman berjangka pendek daripad akerajaan pada 2015 dan 2016 adalah untuk membiayai usaha mendapatkan kembali wang yang dibekukan itu.

Harvinderjit: Salah satu asas untuk memberi pinjaman pada 2015 dan 2016 kepada SRC International adalah untuk tujuan mendapatkan kembali wang di Swiss?

Afidah: Tidak, alasan utamanya ialah untuk KWAP tidak mengisytiharkan kejadian ingkar (membayar pinjaman syarikat)

Harvinderjit: (Tetapi) bukankah ini salah satu asas yang dinyatakan dalam memorandum itu, bahawa terdapat tindakan yang diambil untuk mendapatkan kembali wang dari Swiss?

Afidah: Ya, itu antara asas pertimbangan.

Harvinderjit: Dalam keterangan saksi, kamu berkata bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab ke atas pinjaman sebanyak RM4 bilion ini?

Afidah: Ya

Harvinderjit: Jadi, apabila wang itu dikembalikan, tanggungjawab kerajaan juga akan berkurangan?

Afidah: Ya

Bagaimanapun, Afidah yang merupakan saksi ke-41 pendakwaan, ketika ditanya menafikan dirinya tahu mengenai pertemuan antara MOF, AG Tommy Thomas dan AG Switzerland pada Julai 2018 mengenai wang SRC International di negara itu, dia yang merupakan saksi ke-41 pendakwaan.


1pm: Mahkamah berhenti rehat dan perbicaraan akan disambung semula jam 2.30 petang. 

12pm: SRC tidak akan memperoleh jaminan kerajaan untuk pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion daripada KWAP tanpa persetujuan Najib Razak.

Menurut pegawai Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 menyekat syarikat-syarikat kerajaan daripada mendapat jaminan kedua untuk pinjaman selagi pinjaman pertama masih belum dijelaskan.

Afidah ketika pemeriksaan balas berkata satu-satu pengecualian yang ada adalah dengan kelulusan menteri kewangan.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi: Menurut Seksyen 6 akta ini, ada sekatan (untuk SRC International) untuk mendapatkan jaminan kedua kerajaan?

Afidah: Ada.

Suhaimi: Siapa yang boleh memberi kelulusan jika ia (SRC International) mahu mendapatkan jaminan kedua kerajaan (ketika jaminan pertama masih belum dijelaskan)?

Afidah: Ia boleh diberikan pengecualian dengan kelulusan menteri.

Suhaimi: Siapakah menteri dalam konteks ini?

Afidah: Menteri Kewangan.

Suhaimi: Siapa Menteri Kewangan itu?

Afidah: Datuk Seri Najib Razak.

Suhaimi: Dari pengalaman anda, jika syarikat itu berada secara terus di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOC Incorporated), akan masihkan ada sekatan daripada memperoleh jaminan kedua kerajaan?

Afidah: Walaupun ia syarikat MOF, masih terdapat sekatan.

Suhaimi: Siapa yang boleh meluluskannya?

Afidah: Menteri Kewangan.

Suhaimi: Dan yang menandatangani jaminan kedua kerajaan?

Afidah: Menteri Kewangan Datuk Seri Najib.


10.50am: Kerajaan selaku penjamin telah memberikan tiga pinjaman melibatkan jutaan ringgit untuk membantu SRC International membayar hutangnya kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Afidah Azwa Abdul Aziz memberitahu demikian kepada mahkamah semasa peperiksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

"Kerajaan telah menyediakan pinjaman sebanyak RM92 juta (untuk SRC International) pada tahun 2015, dan RM250 juta (pinjaman kepada syarikat itu) pada tahun 2016.

"Walaupun begitu, Kementerian Kewangan bersedia memberikan geran pinjaman sebanyak RM300 juta kepada SRC International untuk membantu membayar balik pinjaman kepada KWAP supaya KWAP tidak mengisytiharkan 'Event Of Default'," katanya ketika membacakan keterangan saksi.

Beliau berkata setakat yang diketahui, beliau tidak pasti jika SRC International telah berjaya membayar pinjaman kepada KWAP.

Beliau menambah dari apa yang beliau ketahui, kerajaan sebagai penjamin masih membayar hutang SRC International kepada KWAP.

"Berdasarkan tempoh pinjaman antara SRC International dan KWAP, ia akan diselesaikan menjelang 2022 iaitu 10 tahun dari 2012," katanya.


10.32am: Pegawai kementerian kewangan Afidah Azwa Abdul Azis berkata kementerian itu pada 2015 telah dimaklumkan oleh SRC International bahawa syarikat itu gagal membayar balik jumlah RM4 bilion pinjaman kerana akaun bank di Switzerland telah dibekukan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim, saksi ke-41 itu mengatakan bahawa wakil-wakil dari SRC International dimaklumkan mengenai keadaan itu dalam pertemuan dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Beliau mengatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Mohd Irwan Serigar turut hadir pada mesyuarat itu.

"Dalam mesyuarat itu yang dihadiri oleh Irwan Serigar, Kementerian Kewangan telah dimaklumkan bahawa SRC International gagal membayar balik hutang kerana akaunnya di Switzerland telah dibekukan.

"Dalam mesyuarat itu, SRC International diberitahu untuk mendedahkan kedudukan kewangan dan (status) akaun yang dibekukan di Switzerland," kata beliau.

SRC menerima sejumlah RM4 bilion pinjaman daripada KWAP, dengan bahagian pertama sebanyak RM2 bilion pada Ogos 2011 dan bahagian kedua sebanyak RM2 bilion lagi pada bulan Mac 2012.

Kerajaan merupakan penjamin terhadap kedua-dua pinjaman berkenaan.


10.15am: Bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah individu yang menandatangani surat jaminan kerajaan untuk bahagian kedua pinjaman SRC International sebanyak RM2 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada tahun 2012.

Pegawai Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz berkata perkara itu bukanlah amalan biasa untuk surat jaminan kerajaan ditandatangani Menteri Kewangan, yang portfolionya dipegang oleh Najib ketika itu.

Surat Jaminan biasanya hanya memerlukan kelulusan di peringkat Menteri Kewangan Kedua, katanya.

Menurut Afidah, satu memorandum dalaman bagi jaminan kerajaan untuk dibentangkan kepada ahli-ahli kabinet telah disediakan pada hari yang sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil datang ke kementerian itu bagi membincangkan surat jaminan kedua pada 2 Feb.

Draf memorandum dalaman ketika itu telah melalui beberapa lapisan kelulusan termasuk menteri kewangan kedua Mohd Husni Hanadzlah pada hari yang sama, sebelum ia dibawa kepada Najib yang menandatanganinya pada 3 Feb 2012.

"Biasanya prosedur MOF memerlukan kelulusan daripada menteri kewangan kedua sahaja. Tetapi bagi memorandum ini, saya telah diarahkan untuk mengambil memorandum untuk kelulusan dan tandatangan menteri kewangan.

"Bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan mengapa saya perlu berbuat demikian," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Afidah memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan memorandum itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh kabinet dalam mesyuarat pada 8 Feb 2012.


9.45am: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pemeriksaan balas terhadap bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid ke hari esok.

 

Nazlan membuat keputusan itu selepas peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau baru sahaja menerima dua dokumen yang diperlukan untuk pemeriksaan balas terhadap saksi ke-40 itu.

Dokumen-dokumen itu dinyahsulitkan daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) berkaitan keterangan Mazidah, membabitkan mesyuarat kabinet dipengerusikan Najib ketika menjadi perdana menteri.

Pihak pendakwaan kemudian memanggil saksi ke-41, Afidah Azwa Abdul Aziz, yang juga ketua penolong setiausaha di Unit Jaminan Kerajaan, bahagian Pelaburan Strategik.

Afidah membacakan keterangan saksi ketika pemeriksaan utama dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

9.44am: Perbicaraan bermula apabila Najib memasuki kandang tertuduh.

9.04am:  Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat memasuki mahkamah.

Dia dilihat bercakap dengan Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan.

Turut dilihat di mahkamah ialah Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan  pendakwaan.


Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid akan menyambung keterangan pada hari ke-28 perbicaraan Najib Razak atas dakwaan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pemeriksaan balas terhadap saksi ke-40 itu dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9 pagi ini.

Perhatian tertumpu terhadap pendedahan Mazidah semasa mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Najib, khususnya bagaimana Kabinet membuat keputusan meluluskan resolusi untuk memberi dua jaminan kerajaan bernilai lebih RM4 bilion kepada SRC International dari pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Semalam semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, Mazidah mendedahkan bahawa menteri-menteri kabinet tidak terlibat dalam perbincangan sebelum meluluskan resolusi untuk memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman berkenaan.

SRC International yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB diberi pinjaman bahagian pertama sebanyak RM2 bilion daripada KWAP pada Ogos 2011, makakala pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion diberikan pada Mac 2012.

Pada bulan Februari 2012, SRC International menjadi sebuah entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, yang diketuai pada masa itu oleh Najib selaku menteri kewangan.

Mazidah memberi keterangan bahawa Najib juga mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada Ogos 2011 dan Feb 2012, yang membawa kepada resolusi untuk mengeluarkan jaminan kerajaan.


Lihat Komen