Pengiklanan

    Mujahid: Laporan qazaf isu video lucah turut dibuat di Sabah

    (Dikemaskini )

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof berkata selain Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, beliau difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan beberapa negeri lain turut menerima laporan qazaf berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

    Mujahid berkata beliau menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa tempat perbuatan itu didakwa dilakukan kerana kesalahan syariah terletak pada pada kuasa agama negeri masing-masing.

    “Sabah ada terima, beberapa negeri lain ada terima laporan qazaf itu.

    “Proses dia, ada aduan kena siasat, akan tengok semua tu dan pembuktian di mana benda tu berlaku,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya di Kedutaan China di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Mujahid berkata demikian ketika ditanya perkembangan qazaf terhadap Azmin selepas Setiausaha Politik Azmin, Muhamad Hilman Idham membuat laporan itu di Jawi Khamis lalu.

    Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video seks lucah yang tular, serta mendakwa individu bersamanya adalah Azmin.

    Haziq mendakwa klip video seks itu dirakam pada 11 Mei lalu, iaitu pada hari Pilihan Raya Kecil Sandakan.

    Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia percubaan memusnahkan kerjaya politiknya.

    Kes tersebut kini dalam pemerhatian pihak polis.Polis juga melakukan siasatan terhadap Haziq.

    Sehingga kini Azmin dan Hilman sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

    Sementara itu, ketika ditanya lokasi laporan qazaf itu dibuat di Sabah, Mujahid berkata ia tidak penting kerana siasatan akan tetap dibuat mengikut peruntukan di negeri berkenaan.

    “Saya tak tahu (laporan dibuat di) kawasan mana, tapi bidang kuasa dia tak kisah, selagi berlaku di negeri tu, jadi ia disiasat bawah undang-undang negeri, di negeri itu,” katanya.

    Mujahid turut melahirkan rasa kecewa dengan budaya politik kotor itu dan menasihati umat Islam untuk berhenti menyebarkan video berkenaan.

    “Keseluruhan idea berkaitan moral, jangan sebarkan benda yang tiada asas, ini menceroboh maruah orang, tidak bagus tindakan tular-menular ini,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih