malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM siasat 2 pemimpin PKR Melaka - sumber
Diterbitkan:  Jun 18, 2019 2:49 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
ADS

Dua pemimpin PKR Melaka dipercayai sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan satu projek pasir di negeri itu.

Sumber SPRM Melaka memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM memanggil kedua-duanya bulan lalu setelah mendapati wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam projek tersebut.

"Mereka dipanggil pada bulan lalu berkenaan satu kes melibatkan projek pasir.

"Kes ini masih dalam peringkat siasatan. Jadi, kami tidak boleh mendedahkan maklumat yang lebih banyak," kata sumber itu dari bahagian siasatan SPRM Melaka," kata sumber yang enggan namanya didedahkan.

Difahamkan salah seorang yang disiasat adalah seorang wakil rakyat.

Untuk rekod, PKR Melaka mempunyai dua anggota parlimen - Shamsul Iskandar Md Akin (Hang Tuah Jaya) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu) - dan tiga adun - Gui Teck (Kelebang), Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) dan Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

Malaysiakini telah menghubungi ibu pejabat SPRM untuk pengesahan sejak Selasa lalu dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik pula gagal dihubungi menerusi telefon dan aplikasi Whatsapp.

Sementara itu Setiausaha PKR Melaka Zambri Yusof berkata beliau tidak tahu berkenaan siasatan yang sedang dijalankan.

"Maaf saya tiada maklumat berkenaan perkara itu," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Pengarah SPRM Melaka, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi Malaysiakini menafikan sebarang siasatan berhubung isu pasir.

"SPRM Melaka nafi sekeras-kerasnya," katanya.

Lihat Komen