malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tak adil kaitkan cara hidup Orang Asli punca wabak penyakit'
ADS

Wabak campak merupakan penjelasan yang munasabah terhadap kes kematian 15 orang penduduk Orang Asli suku Bateq, kata Dr Steven Chow.

Bagaimanapun, jelasnya sebarang cubaan untuk mengaitkannya dengan cara hidup masyarakat berkenaan dengan tragedi itu adalah tidak adil.

Dr Steven yang melawat Kampung Kuala Koh pada 28 April lalu bagi kerja-kerja perubatan di lapangan menolak idea penduduk kampung tidak berminat untuk divaksin.

Beliau juga mengkritik pendapat bahawa gaya hidup berpindah-randah dan amalan pengkebumian suku Bateq boleh memainkan peranan dalam kematian.

"Sudah jelas bahawa terdapat wabak campak di dalam masyarakat tersebut pada masa ini," katanya.

Steven memberitahu hal ini kepada Malaysiakini ketika dihubungi melalui emel.

"Komplikasi daripada jangkitan campak menjejaskan tahap mortaliti yang ketara terutamanya apabila sistem imun badan dilemahkan oleh kekurangan zat makanan dan atau sebab-sebab lain.

"Adalah salah untuk mencari hanya satu punca kematian. Jangkitan (lain) yang ikut serta (menyerang) juga merupakan suatu kemungkinan," katanya.

Dr Steven merupakan ketua pasukan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia ((FPMPAM) yang pergi ke kampung-kampung Orang ASli sejak tahun 2010 lagi.

Beliau melawat Kampung Kuala Koh seminggu sebelum krisis tersebut dilaporkan media dan terperanjat dengan keadaan kampung itu.

Steven juga menolak dakwaan penduduk Orang Asli menolak rawatan perubatan atau vaksin.

"Kawasan ini boleh diakses dengan mudah oleh jalan raya. Tiada alasan yang dapat diterima terhadap kegagalan untuk menyediakan keperluan asas perubatan masyarakat ini.

"Ketika kami berada di sana, seluruh kampung datang untuk membantu. Mereka tidak melarikan diri ke dalam hutan untuk bersembunyi, mereka semua datang untuk mendapatkan bantuan perubatan," katanya.

Chow turut mengambil maklum penemuan Jabatan Kimia bahawa lombong mangan berhampiran tidak mencemarkan sumber air, tetapi beliau menggesa supaya lebih banyak maklumat didedahkan.

"Kami masih tidak mempunyai maklumat yang mencukupi berkaitan dengan tahap keselamatan bekalan air mereka.

"Saya telah melihat dokumentasi sumber bekalan air mereka dan saya tidak boleh bersetuju bahawa ia selamat untuk penggunaan manusia.

"Kami menggesa pihak berkuasa untuk melihat semula perkara ini," katanya.

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob (gambar) berkata kematian kanak-kanak Orang Asli suku Bateq, dari Kuala Koh, Gua Musang semalam, disebabkan demam campak.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh sumber-sumber daripada pihak hospital.

Kerajaan Kelantan, kata menteri besar melihat isu kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang perlu diperhalusi puncanya khususnya dalam aspek gaya hidup masyarakat itu.

Justeru Ahmad berkata, sepatutnya semua pihak melihat penyakit yang dihadapi masyarakat itu dalam aspek kesihatan, kebersihan, amalan pemakanan, dan cara hidup mereka perlu kita pertingkatkan sebagaimana Orang Asli di pos-pos lain.

"Mereka (suku lain) telah pun (menjalani kehidupan) lebih moden, saya harap semua pihak perlu memikirkan untuk mengubah suku Bateq kepada lebih baik melalui sistem pendidikan, cara mereka berfikir dan sebagainya.

"Banyak perkara yang perlu dibantu untuk suku Bateq," jelasnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen