malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Speaker larang MP timbulkan isu video seks
Diterbitkan:  Jun 17, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Ahli Parlimen tidak akan dibenarkan mengemukakan atau menimbulkan isu mengenai klip video seks yang kononnya membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 1 Julai ini.

Ini susulan kenyataan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof yang berkata, tindakan itu bercanggah dengan peraturan Parlimen untuk membincangkan isu-isu yang masih dalam siasatan polis.

"Isu itu tidak boleh dibangkitkan semasa sidang Parlimen kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan," katanya kepada pemberita, yang dipetik oleh Sun Daily.

Semalam, veteran DAP, Lim Kit Siang, menimbulkan persoalan sama ada ahli parlimen akan memberi tumpuan kepada isu berkenaan pada sidang 18 hari nanti dan bukannya mengenai pembentangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Saya mahu sidang parlimen Julai ini dikenali sebagai parlimen IPCMC, bukannya sidang video seks Haziq,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mempersoalkan arahan speaker yang disifatkannya sebagai ganjil.

"Speaker tidak membenarkan ahli parlimen untuk bercakap mengenai video seks.

"Arahan yang ganjil tetapi tidak mengejutkan. Larangan itu tidak menghalang Ahli Parlimen berbincang tentang seks, atau video secara amnya, selagi nama Azmin tidak disebut," katanya.

Azmin menyifatkan klip video itu, yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyerupai dirinya melakukan aksi seks sejenis dengan seorang lelaki lain, sebagai satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masing-masing sedang menyiasat isu itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen