malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Krisis pendidikan perubatan negara dan cara untuk membaikinya
ADS

Pendidikan perubatan di Malaysia dalam krisis dan memerlukan perancangan jangka panjang dan penilaian menyeluruh dengan kadar segera, kata dekan fakulti perubatan.

Perhatian terutamanya berkenaan lambakan pelajar dalam jurusan itu.

Dalam satu forum baru-baru ini, Dekan Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman membangkitkan pendirian bertentangan antara kementerian berkenaan perkara ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan mahu mengurangkan bilangan pelajar perubatan tetapi tidak dapat memberi angka yang tepat berkenaan jumlah pengambilan yang boleh dibuat institusi pengajian.

Pada masa sama, katanya lagi, Kementerian Pendidikan tidak bersetuju dengan langkah itu kerana bimbang akan "bantahan awam".

"Saya tersekat di tengah-tengah.

"Perkara pertama yang perlu dibuat ialah untuk Kementerian Pendidikan dan Kesihatan duduk semeja, berbincang dan capai persetujuan (berkenaan jumlah pelajar perubatan yang diperlukan).

"Perlu ada perancangan yang betul-betul rapi berkenaan unjuran berkenaan doktor yang diperlukan dalma masa sepuluh tahun," katanya dalam forum berkenaan reformasi kesihatan anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dr Adeeba Kamarulzaman

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah itu diburukkan lagi dengan pertambahan institusi swasta dan luar negara yang tidak dipantau.

Ini menyebabkan peningkatan graduan di saat sistem penjagaan kesihatan awam tidak bersedia mengambil mereka sebagai doktor pelatih.

"Dalam dua tahun ini, graduan kita perlu menunggu sembilan bulan hingga setahun (untuk menjadi doktor pelatih).

"Kini, kerja kami di fakulti ditambah untuk merangka apa yang boleh dibuat (mereka) selama setahun - daripada penyelidikan, latihan praktikal dan projek sehinggalah menyerap mereka sebagai tutor.

"Ia kesan daripada perancangan yang lemah," kata Adeeba.

Walaupun dengan jumlah yang tinggi, doktor tidak dibahagikan secara saksama untuk menangani jurang bandar-luar bandar dan awam-swasta di negara ini.

Kurangnya profesional berkaitan

Dengan segala tumpuan terhadap menghasilkan doktor, Adeeba berkata ironinya sistem penjagaan kesihatan berdepan kekurangan profesional dalam bidang berkaitan, seperti ahli terapi, psikologi, fisioterapi dan pekerja sosial.

Katanya lagi, jururawat pula berdepan masalah perjalanan dan pembangunan kerjaya yang tidak jelas serta kenaikan gaji yang progresif walaupun kebanyakannya adalah pemegang ijazah.

"Saya tertanya-tanya sama ada kurangnya perhatian terhadap kerjaya jururawat adalah kerana kebanyakannya perempuan. Mereka tidak diupaya (empowered) atau suara mereka tidak didengar," katanya yang menganggotai Majlis Penasihat Kesihatan dalam Kementerian Kesihatan.

Adeeba mencadangkan beberapa penyelesaian dan salah satunya ialah mewujudkan "mekanisme teras" yang mampu merangka keperluan sumber manusia jangka panjang untuk keseluruhan sistem penjagaan kesihatan - sama ada doktor, jururawat dan profesional berkaitan.

Beliau juga menggesa penggabungan dan pengurangan institusi yang menawarkan jurusan perubatan serta pembaharuan sepenuhnya pendidikan perubatan di Malaysia.

"Saya fikir sudah tiba masanya kita ada penilaian luar dan bebas berkenaan keadaan pendidikan perubatan di negara ini.

"Ada ramai pihak yang boleh mengadakan penilaian yang jujur (dan) harapnya, apa saja syor akan diterima dan bukan hanya terbiar begitu saja," katanya lagi.

Antara panel lain yang membuat pembentangan ialah perunding penjagaan kesihatan Dr Chua Hong Teck, pensyarah perubatan komuniti International Medical University Dr Safurah Jaafar, Presiden Malaysian Healthy Ageing Society Dr Wong Teck Wee dan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Paul Selvaraj.

Lihat Komen