malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan semakan kehakiman fatwa SIS 'sesat' pada 20 Ogos
ADS

Setelah lima tahun menunggu - sejak pertama kali difailkan di mahkamah - Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) akan mengetahui keputusan semakan kehakiman berkenaan pengisytiharan sesat terhadap pertubuhan itu pada 20 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nordin Hassan menetapkan tarikh untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujah peguam Surendra Ananth yang mewakili SIS dan peguam yang mewakili tiga responden - Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam selangor (Mais) dan kerajaan negeri itu.

Nordin juga mengarahkan semua pihak membuat penghujahan lanjut berkenaan sama ada Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 terpakai dalam kes itu.

Ketika ditemui kemudian, Surendra berkata pendengaran hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan September lalu agar kes dikembalikan ke mahkamah tinggi.

"Secara ringkasnya, pendirian kami ialah mahkamah tinggi ada bidang keuasa kerana isu ini berkenaan Perlembagaan (Persekutuan) dan tafsiran undang-undang persekutuan dan negeri.

"Perkara ini memberi kesan kepada hak perlembagaan bukan saja kepada Forum SIS tetapi semua yang menganut agama Islam. Dan itu hanya boleh ditentukan oleh mahkamah sivil," katanya.

Berkenaan arahan Nordin untuk penghujahan berkenaan Seksyen 66A, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar semakan terhadap fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor, Surendra berkata sejak 2016, semua pihak setuju ia tidak terpakai kerana ia hanya berkuatkuasa sejak Mei 2015, kira-kira tujuh bulan setelah kes difailkan pada Oktober 2014.

"Ia (penghujahan) perlu dibuat dalam masa dua minggu. Keputusan ditetapkan pada 20 Ogos. Jadi kita akan dapat keputusan secara penuh pada hari itu," katanya lagi.

Ketika pendengaran, peguam responden berkata fatwa - yang ditafsirkan mereka sebagai pendangan terpelajar hal berkenaan Islam - tidak boleh dicabar di mahkamah sivil.

Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa fatwa bukan saja mengikat individu, tetapi pertubuhan.

'SIS yakin keadilan ditegakkan'

Peguam Mais Yusfarizal Yusof berkata memandangkan SIS memakai perkataan Islam pada namanya dan semua pengarahnya beragama Islam, mereka tidak boleh menggunakan statusnya untuk membuat sebarang perkara yang dilihat bertentangan dengan Islam.

Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa SIS sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam pada 2014. Fatwa tersebut diwartakan pada tahun sama.

SIS kemudian memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 untuk mencabar keputusan itu.

Selain itu, mereka turut memohon pengisytiharan bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai "company limited by guarantee" adalah tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif SIS Rozana Isa dan penyokong mereka.

"SIS ada keyakinan penuh sistem keadilan Malaysia akan menegakkan integriti pada tahap tertinggi dan keadilan akan ditegakkan untuk kami," katanya lagi.

Lihat Komen