malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Langsung tidak ada pertemuan pembantu Anwar-Haziq - sumber
ADS

Pembantu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak berjumpa dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz pada hari dia ditangkap, kata sumber yang rapat dengan kepimpinan parti.

Sumber itu mengulas kenyataan blogger Raja Petra Kamaruddin, yang mendakwa Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat lalu ketika cuba melarikan diri ke Filipina dengan pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Farhash di Kuala Lumpur.

“Ibarat peribahasa Melayu Nusantara, bau busuk tak berbangkai. Kenyataan RPK adalah tidak benar dan ia nyata sarat dengan fitnah jahat untuk melagakan kedua-dua pemimpin (Anwar dan timbalan presiden PKR Azmin Ali) tersebut,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Sumber itu berkata sepanjang pengetahuannya, Farhash tidak pernah berjumpa dengan Haziq, dan tidak terlibat dalam sebarang komplot.

Sebelum ini, Anwar juga menafikan bahawa beliau atau penyokongnya adalah dalang di sebalik klip video seks yang kononnya melibatkan Azmin itu.

"Apa tujuan buat demikian, kita dari parti sama dan dari Pakatan Harapan," katanya.

Azmin menyifatkan klip video itu, yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyerupai dirinya melakukan aksi seks sejenis dengan seorang lelaki lain, sebagai satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq, yang mengaku sebagai lelaki yang turut terbabit dalam video klip itu, mendakwa bahawa Azmin adalah pasangannya dan aksi berkenaan berlaku di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Ketua Pemuda PKR Santubong berusia 27 tahun sedang disiasat mengikut beberapa seksyen, termasuk mengadakan persetubuhan luar tabii.

Polis sedang cuba menyiasat ketulenan dan kesahihan video seks berkenaan. Haziq dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen