malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pinda perlembagaan, henti pembalakan, lombong di kg Orang Asli'
ADS

Kejadian ramai penduduk Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia terdapat spekulasi ia berpunca daripada pencemaran punca air masyarakat tersebut.

Penghulu Kampung Kuala Koh Mamat Pokok pada 8 Jun lalu dipetik media berkata penduduk mula diserang penyakit sejak Ramadan dan mengesyaki ia berpunca daripada pencemaran sumber air.

Mamat Pokok mengesyaki ia berpunca daripada pencemaran air tandak oleh aktiviti perlombongan berdekatan.

Bagaimanapun, semalam, media melaporkan hasil uji kaji sampel air di kawasan berkenaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati tiada pelepasan sisa dari lombong bijih mangan berdekatan kampung tersebut.

Setakat ini, punca sebenar penyakit yang mengorbankan 14 nyawa Orang Asli setakat ini, masih dalam siasatan dan belum dapat dimuktamadkan.

Biarpun punca penyakit dihadapi penduduk belum dapat dipastikan, kejadian yang berlaku telah mencetuskan perdebatan dan kesedaran tentang kebajikan dan hal ehwal Orang Asli yang masih kurang mendapat perhatian, dalam kes ini di Kampung Kuala Koh Gua Musang.

Bagi Pengerusi Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia Cawangan Gua Musang, Nasir Dolah, aktiviti yang boleh menjejaskan kehidupan Orang Asli seperti pembalakan dan perlombongan perlulah dihentikan di kawasan berhampiran perkampungan Orang Asli.

“Sebarang aktiviti perlombongan, perladangan dan pembalakan diminta elakkan dilaksanakan berhampiran penempatan Orang Asli.

“Banyak kes seperti ini yang tidak diketahui umum. Sebelum ini di Kampung Kelaik, Pos Blau ada kematian seorang warga emas akibat air perlombongan dilepaskan dan di Kampung Angkek, RPS Kuala Betis, juga seorang kematian akibat keracunan sumber air,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas tentang kebajikan Orang Asli di Kuala Koh, menurut Nasir yang juga merupakan aktivis Orang Asli, perkara utama yang perlu diutamakan oleh pihak kerajaan ialah kemudahan asas seperti bekalan air untuk komuniti tersebut.

“Isu kekurangan kemudahan asas seperti (bekalan) air ini bukan sahaja berlaku di Kuala Koh, malah keseluruhan penempatan Orang Asli di Gua Musang menghadapi isu sama.

“Tambahan pula jika kami menggunakan sumber air sungai dan jika pencemaran berlaku di hulu sungai ini akan memberi kesan kepada penduduk,” ulasnya.

Tambahnya lagi, walaupun kerajaan negeri sebelum ini telah menyalurkan projek air terawat untuk Orang Asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dakwanya, 80 peratus daripada projek tersebut gagal kerana tiada pemantauan, ketirisan dan salah guna kuasa oleh pihak atasan.

“Apa yang penting, setiap projek yang disalurkan kepada Orang Asli saya harap ada pemantauan oleh pihak atasan dan perlu mendapat kerjasama penduduk setempat supaya tidak tergendala [...] sekaligus dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” tambahnya lagi.

Pendapat sama dikongsi Presiden Persatuan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil (gambar) yang berpandangan, undang-undang berkaitan perhutanan perlu dipinda agar aktiviti perlombongan dan pembalakan dapat dibendung bagi melindungi sumber penghidupan masyarakat Orang Asli.

“Tukar undang-undang perlembagaan (berkaitan perhutanan). Tiada lagi pembalakan dan perlombongan. Kasihan pada Orang Asli, mereka dah tak ada makanan.

“Kalau mahu pindahkan mereka, Orang Asli ini kita tak boleh tukar adat resam mereka. Mereka suka hutan. Biarlah mereka dengan hutan, dan hutan itu mereka jaga, untuk kita juga (turut mendapat manfaat).

“Selagi tak tukar perlembagaan yang ada sekarang ini, di mana menteri besar mempunyai kuasa penuh ke atas tanah dan hutan, selagi itulah kita akan terus kehilangan hutan dan negara bertambah miskin. Itu saya berani cakap,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Shariffa merupakan antara individu yang sempat turut ke Kampung Kuala Koh pada 10 Jun bagi melawat perkampungan itu sebelum ia ditutup oleh pihak berkuasa.

Menurut Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan, menyatakan bahawa isu tanah (termasuk penerokaan, pemajuan, pemuliharaan, lesen atau permit untuk mencari gali bagi lombong), perhutanan dan air adalah tertakluk bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Asyik-asyik kata (penebangan hutan untuk balak, lombong) itu untuk ekonomi negeri. Ekonomi siapa? Itu ekonomi untuk poket mereka lah. Bukan untuk rakyat.

“[...] Apa yang terjadi pada Orang Asli ini (di Kuala Koh) adalah permulaan terhadap keburukan yang akan terjadi kepada kita di bandar nanti,” katanya lagi.

Masalah kesihatan yang melanda Kampung Kuala Koh dikatakan bermula sejak awal Ramadan lalu.

Daripada 14 kematian, dua daripadanya disahkan akibat radang paru-paru oleh bedah siasat yang dijalankan di Hospital Gua Musang.

Pada 12 Jun, Kampung Kuala Koh diisytiharkan sebagai zon merah dan ditutup daripada dikunjungi sesiapa kecuali pegawai agensi kerajaan tertentu seperti polis forensik serta anggota operasi bagi pencarian mayat Orang Asli yang disemadi secara adat.

Pencarian semula mayat Orang Asli itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap mayat untuk mengkaji punca kematian.

Bagi Anggota Dewan Negara, Senator Husam Musa, beliau berpendapat pandangan kedua perlu didapatkan bagi membantu siasatan kematian Orang Asli di Kuala Koh.

“Sefaham saya, di negara-negara lain, bila isu seperti ini berlaku, pihak yang lain seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu dipanggil untuk mendapatkan pandangan kedua supaya kita dapat melihat keputusan itu secara lebih konklusif dan komprehensif,” katanya kepada Malaysiakini.

Husam merujuk kepada siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati tiada sebarang pelepasan sisa dari lombong bijih mangan di Aring 10 yang terletak 3 kilometer dari perkampungan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mendedahkan dapatan itu, selepas JAS mengambil sampel di kawasan lombong mangan dan tandak air di kampung tersebut sejak 9 Jun lalu.

"Keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun 2019 secara keseluruhannya mendapati kualiti air di lokasi persampelan tersebut adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan bagi air mentah,” kata Wan Azizah.

Mengulas lanjut, Husam menyarankan JAS untuk mendedahkan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan untuk ujian sampel air yang dilakukan kerana berpendapat pensampelan air dan ujian haruslah dilakukan dengan lebih menyeluruh dan berjangka panjang.

Tambah Husam lagi, selain penilaian kesan alam sekitar (EIA), pihak berwajib turut perlu mengkaji penilaian kesan sosial (SIA) sesuatu projek terhadap masyarakat setempat.

“Dua isu perlu difokuskan. Sebab utama kematian yang belum ditentukan, dan kedudukan perlombongan dan perladangan yang mungkin memberi impak kepada masyarakat setempat.

“Dalam amalan negara-negara lain, mereka bukan sahaja ada EIA, tapi juga penilaian kesan terhadap sosial (SIA). Jadi kita belum ada SIA dilakukan. Bila berlaku kematian seperti ini (di Kuala Koh), mustahak juga SIA itu ditekankan,” tambahnya lagi.

Pada 10 Jun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah menyangkal dakwaan penyakit disebabkan pencemaran air kerana radang paru-paru ialah penyakit bawaan udara.

Beliau turut tidak pasti tentang aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, kelmarin, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sedang meneliti permohonan permohonan lesen sebuah syarikat perlombongan bijih mangan berhampiran perkampungan tersebut .

“Kita sedang perhati laporan akhir itu dan membuat kajian, kalau tak ikut kepatuhan kepada peraturan maka Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah semestinya akan bertindak," katanya.

Lihat Komen