malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Untuk tempoh masa yang lama, saya sememangnya seorang peminat setia Liverpool FC.

Sebagai peminat setia, sudah tentu memenangi trofi dan kejuaraan dapat membalas balik keyakinan yang diberikan kepada kelab itu selama ini.

Dan baru-baru ini, Liverpool menjadi Juara Liga Juara-juara Eropah.

Namun, Liverpool masih ternanti-nanti untuk menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang terakhir dimenanginya pada musim 1989/90.

Liverpool bukannya dibayangi seteru setempat - Everton - tetapi kelab lain seperti Manchester United, dan sekarang Manchester City.

Membesar dengan Big League Soccer, serta koleksi-koleksi Shoot! dan majalah Match, saya menyukai bola sepak kecil lagi.

Saya menyukai pemain legenda seperti Soh Chin Aun, R Arumugum, Mokthar Dahari, Shukor Saleh, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani. Tidak lupa juga, Zainal Abidin Hassan dan abangnya Khalid Salleh.

Akhir-akhir ini, doktor menemui punca kenapa saya selalu tercungap-cungap. Didapati ada sekatan pada arteri (jantung tersumbat).

Ia memerlukan satu pembedahan pintasan jantung - atau lebih spesifik, pembedahan jantung terbuka empat pintasan (open heart quadruple bypass surgery).

Gabungan tiga idea

Sedang saya bersedia untuk menjalani pembedahan - dan kemungkinan bertemu dengan Maha Pencipta - saya didorong dengan lagu yang sering dinyanyikan oleh peminat Liverpool, iaitu You’ll Never Walk Alone.

Malaysia Baru. Sekurang-kurangnya dalam soal bagaimana PH merampas kuasa daripada tangan kleptokrat Najib Razak.

Tidak kira apa yang akan berlaku dalam bilik bedah dan selepasnya, kepada Malaysia yang saya cintai - lebih daripada Liverpool - sejujurnya, negara ini tidak akan dilupakan dan diabaikan.

Pasukan penyelidik di Emir Research akan terus ke hadapan, menerajui analisis yang mantap dan mendalam.

Malaysia - akhirnya - adalah kombinasi tiga idea: keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Selagi Malaysia mempunyai ketiga-tiga ciri ini, ia tetap akan menjadi Harimau Asia.

Bagaimanapun, tiada noktah untuk cemerlang. Menurut Malcom Gladner dalam Tipping Point mengesahkan, latihan demi latihan akan menjadikan sesuatu itu sempurna.

Apabila tukang kasut atau pembuat kasut melakukan kerjanya lebih daripada 10,000 kali, sifat epiphany akan terbentuk, membuatkan ia menjadi lebih baik dan kukuh.

Harap kembali lebih kuat

Orang Jepun merujuknya sebagai kaizen iaitu seni yang sentiasa berinovasi dalam setiap kehidupan.

Suka atau tidak, saya telah menulis tanpa henti sejak 2015 demi berjuang untuk menyelamatkan Malaysia. 

Saya pernah ditahan, disoal siasat, dan dibebaskan dengan jaminan polis di bawah kerajaan sebelum ini kerana menulis di media sosial dan berjuang menentang kleptomaniak.

Bagaimanapun dengan pembedahan yang bakal saya lalui minggu depan, minda saya mesti lebih kuat daripada badan. Tanpa keberanian untuk melaluinya, saya tidak akan cukup kuat untuk kembali dengan lebih kuat!

Yang pasti, saya melaksanakan tugas saya untuk Malaysia dan berikhtiar untuk menggandakan usaha itu.

Sekarang saya perlu - dan mengharapkan - doa-doa rakyat Malaysia agar saya melepasi ujian ini dan kembali dengan lebih kuat lagi untuk terus memperjuangkan reformasi Malaysia tanpa dipengaruhi faktor kaum, bangsa dan agama, Insya-Allah.

Ini mungkin merupakan suatu ucapan selamat tinggal. Tapi saya berharap ia hanya untuk sementara sahaja.

Kalau tidak, saya yakin negara ini akan terus dibentuk semula untuk mendapat kembali apa yang sudah dihilangkan. 

Saya menikmati setiap saat perjuangan saya untuk menyelamatkan Malaysia, walaupun pada saat-saat paling mencabar.

Saya telah berdamai dengan ramai orang walaupun mungkin tidak semua.

Jangan sesekali berputus asa kepada negara yang kita cintai ini, dan hayatilah kepelbagaiannya. Terima kasih Malaysia.


DR RAIS HUSSIN ialah presiden dan ketua pegawai eksekutif badan pemikir berfokuskan penyelidikan dasar berteraskan data, Emir Research. Ia ditunjangi nilai-nilai konsultansi, kesederhanaan dan kerapian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen