malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli politik elak cukai: Shahidan minta MB Perlis jawab
ADS

Anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim menggesa Menteri Besar Perlis, Azlan Man menjawab dakwaan bahawa kerajaan negeri rugi RM26.4 juta setahun susulan terdapat ahli politik mengelak daripada membayar cukai.

Shahidan berkata demikian susulan titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang kesal dengan tindakan dilakukan segelintir pemimpin parti politik di negeri itu.

Sehubungan itu Shahidan meminta Azlan menjawab sama ada terdapat ahli politik membantu rakan-rakan serta individu berkepentingan dengan mereka untuk mengelak membayar cukai.

“Kalau (ahli politik) tolong kawan dia maknanya itu tindakan yang salah, boleh dihukum kerana campur tangan dan penguatkuasa boleh ambil tindakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya beliau sudah membuat aduan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bagi menyiasat berhubung dakwaan tersebut.

Khamis lalu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah bahawa terdapat segelintir pemimpin politik mengelak membayar cukai seperti dilapor Utusan Online.

Titah baginda, sekiranya perkara itu tidak berlaku, kerajaan negeri mampu memperolehi pendapatan RM128.9 juta melalui penguatkuasaan cukai.

Baginda bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut ahli politik yang terlibat.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata jika perkara itu benar-benar berlaku maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Kalau raja boleh bagitahu nama cantiklah supaya kita boleh ambil tindakan kepada ahli politik yang menghalang pegawai kerajaan bertugas kerana ia satu kesalahan. 

"Ahli politik tu siapa, wakil rakyat ke, Umno ke (atau dari) Pakatan Harapan (PH) kita tak tahu. Macam raja sebut terbuka tu tak bolehlah sebab tak tahu siapa (terlibat)," katanya.

Ketika ditanya sama ada perkara itu berlaku ketika belau menjawat jawatan menteri besar antara tahun 1995 hingga 2008, Shahidan berkata:

“Saya tak tahu, saya tak ingat, kalau ada saya dah pasti saya suruh kutip cukai,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Azlan bagi meminta penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Lihat Komen