Pengiklanan

    'Kalau intim dengan Azmin, kenapa minta jadual dari saya?'

    (Dikemaskini )

    Penyelaras Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan PH, Blisson Zainuddin mempersoalkan alasan ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz meminta jadual aktiviti Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali ketika kempen PRK itu.

    “Jika benar dia punya hubungan (intim dengan Azmin) sebelum PRK Sandakan lagi, kenapa pula dia harus mendesak saya bagi mendapatkan butiran (aktiviti kempen Azmin).

    "Jika benar mereka intim, maka sudah pasti dia berhubung (terus dengan Azmin),” katanya dalam sidang media di Bangsar hari ini.

    Dalam sidang media itu, Blisson yang juga merupakan timbalan ketua Pemuda PKR Sabah mendedahkan bahawa Haziq mendesaknya beberapa kali untuk meminta butiran perjalanan dan lokasi penginapan Azmin.

    Blisson berkata, walaupun kurang senang dengan desakan Haziq, namun dia tetap ‘melayan pemintaan tersebut’ atas dasar politik dan tanggungjawab.

    “Saya terlibat sebagai jentera PH dalam PRK Sandakan yang lalu dan antara tanggungjawab saya ialah menyusun dan menguruskan pergerakan pemimpin PH khusunya PKR termasuklah Azmin, dan beberapa orang menteri dan timbalan menteri.

    “Sepanjang kempen, saya dihubungi oleh Haziq banyak kali bertanya tentang jadual termasuk lokasi serta tempat penginapan Azmin melalui panggilan telefon dan pesanan melalui WhatsApp.

    “Dia (Haziq) menghantar pesanan bertanya berkenaan butiran lawatan Azmin seawal 27 April, 3, 7, 8 dan 10 Mei.

    "Itu belum termasuk panggilan telefon yang turut mendesak ingin mengetahui butiran jadual, penginapan Azmin sempena PRK Sandakan,” katanya dalam sidang media di Bangsar, hari ini.

    'Perancangan jahat'

    Blisson berkata, ketika itu, Haziq memaklumkan tujuannya meminta butiran berkenaan adalah bagi  merancang kempen bersama Azmin dalam tugasnya sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

    Bagaimanapun, kata Blisson, dia mula berasa aneh dengan sikap Haziq apabila seminggu selepas PRK Sandakan, Haziq menghubunginya sekali lagi dan meminta supaya dia mengabaikan dan tidak mendedahkan segala komunikasi antara mereka berdua kepada umum.

    Tambah Blisson, dia bertambah yakin wujud perancangan jahat selepas pendedahan klip video seks yang mengaitkan Azmin.

    “Saya mula memahami kenapa dia bersungguh mendesak saya mendapatkan butiran lawatan Azmin dan saya sangat yakin ia berkaitan perancangan jahat,” katanya.

    Blisson yang memaklumkan bahawa dia sudah membuat Akuan Bersumpah (SD) turut menunjukkan paparan tangkap layar perbualan WhatsApp antara dia dengan Haziq.

    Haziq yang mengaku sebagai individu dalam klip video lucah yang mula tersebar 11 Jun lalu mendakwa individu yang bersamanya di atas katil adalah Azmin.

    Haziq juga mendakwa klip video itu dirakam pada 11 Mei lalu, iaitu pada hari mengundi PRK Sandakan.

    Azmin menafikan dakwaan terlibat dalam klip video itu dan menyifatkan ia sebagai percubaan untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

    Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Blisson berkata dia bagaimanapun tidak tahu sama ada Azmin menemui Haziq selepas waktu berkempen.

    “Itu di luar pengetahuan saya. Setakat yang saya tahu Azmin memang menginap di Hotel Four Points Sandakan seperti dalam jadual, namun, saya tidak tahu sama ada benar atau tidak Azmin dan Haziq bertemu,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih