malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati tidak terdapat sebarang kejadian pelepasan sisa dari perlombongan bijih mangan di Aring 10 yang terletak 3 kilometer dari perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Menurut beliau, JAS telah menjalankan persampelan di kawasan lombong mangan dan tandak air di kampung tersebut.

"Keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun 2019 secara keseluruhannya mendapati kualiti air di lokasi persampelan tersebut adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan bagi air mentah.

"Siasatan JAS mengesahkan tidak terdapat sebarang kejadian pelepasan sisa dari perlombongan manganese (bijih mangan) di Aring 10 yang terletak 3 kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh," katanya pada sidang media ketika melawat Pusat Operasi di Felda Aring 10, hari ini.

Terdahulu, 14 kematian dicatatkan melibatkan penduduk Orang Asli kawasan itu sejak awal bulan lalu dan yang sehingga kini belum diketahui.

Bagaimanapun dua daripadanya kematian yang dilaporkan kepada pihak polis dan dirujuk ke hospital mendapati kematian mereka disebabkan jangkitan radang paru-paru.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat menjalankan siasatan dan ujian makmal bagi mengenalpasti punca jangkitan tersebut.

"Ujian diambil daripada pesakit, yang meninggal dunia dan jenazah. Ini juga mengalami kesulitan kerana (terikat) dengan budaya orang Bateq.

"Keputusan ujian makmal dijangka akan diperolehi dalam masa terdekat," katanya.

Justeru, Dr Wan Azizah berkata, agensi kerajaan perlu mengenal pasti punca kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh kerana menurutnya kejadian itu merupakan perkara baru dan tidak pernah melanda Orang Asli sebelum ini, sehingga membabitkan kematian mengejut.

"Kita mendapati mereka sudah menghadapi masalah kronik sejak beberapa tahun lalu, namun kita tidak tahu apa yang menjadi punca utama kepada kematian ini.

"Hasil pemeriksaan Kementerian Kesihatan terhadap Orang Asli yang meninggal dunia dan menerima rawatan mendapati negatif tibi, kencing tikus, parasit dan mungkin virus itu yang belum dikenal pasti sudah merebak dalam kehidupan budaya mereka sejak sekian lama," katanya.

Dalam perkembangan sama, tambah Wan Azizah, penduduk Orang Asli suku Bateq yang menerima rawatan di hospital akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani.

Kata Dr Wan Azizah, dianggarkan seramai 50 Orang Asli akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara tersebut.

"Selepas menerima rawatan mereka akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang akan dibuka.

"Buat masa ini, situasi kebajikan Orang Asli Kuala Koh terkawal, namun orang awam tidak dibenarkan masuk termasuk menyampaikan sumbangan selepas polis mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon merah," katanya.

Lihat Komen