malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Gagasan Rahmatan Lil-Alamin telah dilancarkan oleh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa di Kuala Lumpur pada 25 April 2019. 

Tiga kertas cadangan berteraskan konsep Rahmatan Lil-Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 14 Mac yang lalu yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Gagasan rahmatan lil-alamin adalah merupakan asas utama dan telah disebarluaskan sebagai teras baru kerajaan Pakatan Harapan (PH). Gagasan ini telah mendatangkan perdebatan dan perbincangan luas dalam negara.

Rakyat Malaysia diingatkan agar menjauhi segala bentuk amalan bernegara yang dilakukan secara ekstrem dan radikal. Ideologi ekstrem boleh meresapi sesiapa sahaja tidak kira latar belakang agama mahupun etnik. 

Negara telah mencatatkan beberapa insiden berkaitan agama dan etnik berlaku dalam negara ini yang berpunca daripada sikap ekstrem terhadap agama dan etnik seperti tragedi harta 1967, insiden 13 Mei 1969, Kampung Medan dan yang terbaru adalah insiden Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield Selangor. 

Keadaan ini boleh berlaku berterusan jika tidak dibawa satu gagasan yang seimbang dan sesuai untuk semua agama, bangsa dan negara.

Perlu diingat, bahawasanya setiap kerajaan atau menteri berkaitan termasuklah perdana menteri akan mempunyai agenda dan wawasan tersendiri. Ia telah disesuaikan dengan keperluan dan keadaan semasa yang difikirkan terbaik pada masa tersebut. 

Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat dua puluh tahun yang lalu telah membawa dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Tun Abdullah Badawi memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, Datuk Seri Najib Razak membawa gagasan Maqasid Syariah dan kini, Tun Mahathir dan Datuk Seri Mujahid Yusuf membawa gagasan Rahmatan Lil-Alamin. 

Islam membawa rahmat

Menginsafi permasalahan dan isu-isu sosial yang mencengkam negara pada masa kini, maka gagasan Rahmatan Lil-Alamin telah dikperkenalkan sebagai wadah penyelesaian ampuh untuk semua permasalahan yang berlaku di dalam negara ini.

Rahmatan Lil-Alamin bermaksud Islam membawa rahmat dan kesejahteraan keseluruh alam. Gagasan ini dipacu oleh Islam, dan kemudiannya disesuaikan dengan konteks lokal. 

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dianggap sabagai penyelesaian kepada permasalahan kaum jahiliyyah dan masyarakat Arab keseluruhannya, tanpa memfokuskan kepada penganut Islam semata-mata, ajaran Muhammad telah memberikan keharmonian dan menjamin hak-hak asasi dan kesamarataan dalam masyarakat Arab merentasi agama dan kabilah.

Gagasan Rahmatan Lil-Alamin disebut di dalam Surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud “Dan tiadalah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam. 

Ini secara jelas membawa maksud bahawa ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad akan memberikan kesejahteraan dan kebaikan kepada semua makhluk, tidak hanya terbatas kepada manusia semata-mata. 

Semua makhluk sama ada yang hidup mahupun tidak, termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, batu, tanah, rumah, harta-benda dan apa sahaja yang ada di muka bumi ini adalah selamat di bawah ajaran Islam.

Sesuai untuk masyarakat berbilang kaum

Gagasan Rahmatan Lil-Alamin sebenarnya amat sesuai untuk dipraktikkan di negara ini. Mengambil pendekatan yang sama oleh Nabi Muhammad di tanah Arab yang dihuni oleh masyarakat dari pelbagai etnik (kabilah) dan agama, maka keadaan yang sama berada dalam negara ini. 

Masyarakat berbilang kaum yang merupakan acuan asas negara ini sebenarnya sedang diancam oleh anasir-anasir luar yang ingin melihat kerosakan dan kehancuran negara ini. Maka melalui pendekatan Rahmatan Lil-Alamin ini, maka isu-isu ini dapat diselesaikan. Setiap anggota masyarakat tanpa mengira kaum di negara ini akan dijamin hak-hak mereka malah akan diberikan keadilan sewajarnya.

Dalam memahami ancaman ekstremisme di Malaysia, salah satu faktor utamanya adalah rasa tidak puas hati kerana tidak diberikan hak dan ruang yang seadilnya. 

Etnik bukan Melayu merasakan bahawa mereka diancam dan tidak diberikan keadilan. Manakala bagi etnik Melayu pula, hak-hak keistimewaan dan ‘kelebihan’ yang dimiliki sebagai kaum peribumi telah terhakis. 

Ini menjadikan rasa tidak puas hati, kebencian dan kesangsian semakin menebal dalam masyarakat. Secara historikal, keadaan ini telah menyebabkan lahirnya gerakan-gerakan ekstrem yang diterjemahkan dalam bentuk serangan-serangan ganas ke atas etnik lainnya. 

Jika konsep Rahmatan Lil-Alamin dipraktikkan dengan sebaiknya, semua etnik termasuk peribumi Sabah dan Sarawak serta kaum Asal di negara ini akan rasa selesa dan masalah mereka diselesaikan dengan sebaiknya kerana ia adalah tuntutan dan kemestian dalam Islam.

Malah mana-mana kerajaan atau pemimpin yang menafikan perkara ini, mereka akan diperangi sebagaimana amaran keras oleh Saidina Umar kepada gabenor Mesir, Amr bin Ash yang telah ditunjukkan dengan garisan lurus yang dibuat dengan pedang oleh Umar di atas seketul tulang hasil dari pengaduan oleh seorang tua Yahudi. 

Tidak ada satu kaumpun boleh dizalimi walaupun atas nama mengembangkan Islam seperti membina masjid, sekolah dan lain-lain. Mereka perlu diberikan pampasan yang sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan tanpa kompromi.

Agama dan etnik

Golongan ekstrem akan wujud dalam mana-mana negara atau kelompok masyarakat apabila dua perkara disentuh iaitu agama dan etnik. Melalui konsep Rahmatan Lil-Alamin ini, kedua-dua perkara ini dijamin sepenuhnya, malah kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab juga mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar, kesemua mereka akan dipertanggungjawabkan atas amanah yang telah diberikan dan janji yang telah diberikan. 

Kes pembunuhan Dr Joseph Fernandez pada tahun 2001 di Kulim, Kedah adalah jelas akibat daripada perasaan tidak puas hati dengan kerajaan yang memerintah. 

Kerajaan dilihat gagal melindungi agama Islam dan tidak mempraktikkan tuntutan Islam sebenarnya, maka penyelesaiannya adalah dengan mengambil tindakan sendiri.

Malah apabila diperhalusi pergerakan oleh pejuang ‘jihad’ Al-Qaeda dan ISIS di Afghanistan, Iraq dan Syria, sebenarnya bermula apabila kerajaan Islam yang ada di seluruh dunia ini dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah negara bangsa yang melindungi Islam melalui konsep ‘Umran’ dan ‘Asabiyyah’. 

Maka alternatifnya adalah menggerakkan kumpulan pejuang atas nama Islam yang mana motifnya adalah membina Daulah Islamiyyah yang akan mempertahankan Islam dan mempraktikkan ajaran Muhammad iaitu Rahmatan Lil-Alamin. Ekstremisme agama wujud apabila negara Islam yang ada kini dilihat tidak membawa rahmat, malah hanya membawa kepada kekayaan, mempraktikkan sekularisme dan berkiblatkan kapitalisme.

Menjamin hak istimewa Melayu

Isu besar yang juga membawa kepada permasalahan dalam negara ini adalah berkaitan etnik Melayu. Isu ini amat mencengkam kerana masyarakat Melayu adalah penduduk peribumi negara ini, konsep Rahmatan Lil-Alamin amatlah perlu bagi menjamin hak-hak keistimewaan Melayu. 

Sinergi Islam dan Melayu sebenarnya adalah kekuatan dan keistimewaan yang tiada tolok bandingnya. Malah gagasan Rahmatan Lil-Alamin dijangka akan memberikan kekuatan yang lebih dan bukan sahaja hak-hak Melayu terjamin, malah menjadi lebih kukuh dan utuh. Inilah yang dinamakan Rahmatan Lil-Alamin.

Masyarakat etnik selain Melayu seperti India, Cina, Sikh dan lain-lainya juga perlu memahami tentang Rahmatan Lil-Alamin kerana melalui gagasan ini, hak-hak mereka juga terjamin dan akan terus dipertahankan. 

Tidak ada etnik yang akan terancam, semuanya terjamin sebaiknya. Rahmatan Lil-Alamin juga menentang ekstremisme yang ada dalam mana-mana agama dan etnik. Malah secara tidak langsung, Rahmatan Lil-Alamin juga dalah instrumen dakwah bil-hal, atau dakwah secara tidak langsung. 

Untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada ajara Islam yang sebenar, mereka haruslah didedahkan dengan ajaran Islam dalam versi yang betul, bukannya Islam versi ekstremis seperti yang dibawa oleh sesetengah pemimpin, parti politik dan gerakan-gerakan tertentu.

Tidak terpengaruh perbuatan ektremisme

Ideologi ekstrem dan radikal ini boleh diterjemahkan kepada perbuatan ganas yang juga disebut terrorisme. Perbuatan terroris ini bukan hanya dikaitkan dengan Islam semata-mata, tetapi keganasan yang sama juga telah dilakukan oleh penganut Kristian, Hindu dan Buddha sebagaimana yang berlaku di banyak negara di dunia ini. 

Insiden serangan terroris di Masjid An-Noor di Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand dilakukan oleh terroris yang berfahaman radikal yang menolak imigran dan ingin membalas dendam. Rahmatan Lil-Alamin juga akan menjamin hak-hak imigran, termasuklah pekerja ‘3D’ dan profesional yang berada dalam negara ini.

Rakyat Malaysia diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan segala bentuk perbuatan ekstremisme dan radikalisme ini. 

Ia bukan sahaja boleh berlaku di luar negara, malah perkara ini juga boleh berlaku dalam negara ini jika tidak mempunyai asas pengetahuan beragama yang jelas dan tepat. 

Semua sistem dalam negara ini haruslah berfungsi agar segala perasaan tidak puas hati atau dendam akan dapat diatasi oleh kerajaan yang memerintah. 

Manusia yang bertamadun akan hidup dalam kesederhanaan dan menolak sama sekali perbuatan dan perlakuan yang ekstrem dan radikal. Maka penyelesaiannya adalah dengan menghayati gagasan Rahmatan Lil-Alamin sebagai dasar yang perlu diangkasakan bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke keseluruh dunia termasuklah dibawa keperingkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


PROF MADYA DR MOHD MIZAN ASLAM ialah penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen