malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar: Klip video lucah bukan konspirasi dalaman parti
ADS

PKR perlu mengkaji lebih lagi isu klip video didakwa melibatkan Azmin Ali, dan ia bukanlah konspirasi dalaman parti kata presidennya, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media di Petaling Jaya hari ini Anwar berkata tiada keputusan diambil dalam mesyuarat mingguan Biro Politik PKR hari ini.

"Tidak ada pertelagahan (dalam parti) kerana sejak dari awal parti ini dan saya - juga rakan-rakan dalam PH - percaya kita memang menolak politik keji yang disebut gutter politics ini terhadap sesiapa saja," katanya.

Menurut Anwar pihaknya akan bersidang lagi dalam tempoh terdekat kerana mendapati ia belum ada kesudahan.

Justeru katanya PKR perlu meneliti lagi isu berkenaan dan pada masa sama mendapat pandangan daripada peguam.

"Kita akan bincang semula dalam beberapa hari lagi," katanya.

Menurut Anwar lagi PKR juga mahu memastikan perbincangan dengan pimpinan diadakan secara berterusan dan lebih penting, menyerahkan kepada polis serta SPRM untuk meneruskan siasatan.

Mengenai perbincangan dalam mesyuarat tersebut, Anwar berkata mereka berbincang agak panjang mengenai cara kenyataan harus dibuat dan bagaimana ia perlu ditangani dengan melihat kepada fakta dan aspek undang-undang.

Anggota parlimen Port Dickson itu menambah PKR tidak mahu menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan pihak berkuasa.

Mengenai status Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, yang membuat dakwaan tersebut, Anwar berkata, terserah kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin untuk mengambil tindakan.

Untuk rekod, Haziq ialah setiausaha sulit kanan kepada Shamsul dan menjadi ketua Pemuda PKR Santubong.

"Saya fikir PKR akan menyerahkan hal ini kepada timbalan menteri terbabit (Shamsul Iskandar) untuk menyelesaikannya dan membuat pengumuman mengenainya pada masa yang sesuai," katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen