Pengiklanan

    Polis temui tulang Orang Asli Kuala Koh


    (Dikemaskini )

    Polis hari ini menemui satu rangka tulang yang disyaki tinggalan seorang daripada 12 penduduk Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang dilaporkan meninggal dunia akibat bawaan penyakit yang belum dipastikan puncanya, sejak awal bulan lalu.

    Perkara itu disahkah oleh Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi yang dibuka di Felda Aring 10, Gua Musang.

    Menurut beliau, operasi pencarian bermula pada jam 2. 30 petang oleh tiga pasukan pencari yang terdiri daripada gabungan pasukan polis bersama beberapa agensi berkaitan.

    "Tiga pasukan pencari yang dibentuk melibatkan pihak polis dan beberapa agensi lain memulakan operasi mengesan kubur 12 penduduk Orang Asli berkenaan. Selain itu kita turut dibantu oleh Jakoa (Jabatan Hal Ehwal Orang Asli) dan penduduk suku Bateq tempatan.

    "Selepas dua jam kita berjaya menemui satu mayat dalam bentuk tulang yang berselerakan di atas tanah.

    "Mayat ini disimpan di atas pokok mengikut adat suku Bateq, kemudian reput dan jatuh ke tanah. Ada kemungkinan mayat ini sudah diusik oleh binatang buas, " katanya.

    Hasanuddin berkata, lokasi penemuan tulang tersebut terletak antara enam hingga tujuh kilometer daripada Pusat Kawalan Operasi di Felda Aring 10 dan pihaknya menangguhkan operasi pada jam5.30 petang sebelum diteruskan lagi esok.

    Katanya, buat masa sekarang pihaknya membuat tandaan di lokasi penemuan tulang mayat tersebut.

    "Buat masa ini belum dapat dipastikan bila akan dibawa keluar, itu bergantung pada siasatan forensik.

    "Kita akan teruskan pencarian hari kedua esok bagi mengesan 11 lagi mayat sehingga kesemuanya ditemui," katanya sambil menegaskan buat masa sekarang pihaknya belum dapat mengesan identiti dan jantina rangka mayat tersebut.

    Sementara itu ditanya mengenai kawasan Kampung Kuala Koh yang diklafikasikan sebagai zon merah, Hasanuddin berkata, status tersebut akan diwartakan sehingga operasi selesai sepenuhnya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti, jantina serta tempoh mangsa itu meninggal dunia selain memberi kelonggaran kepada pasukannya untuk melengkapkan operasi.

    "Kawasan sekitar Kampung Kuala Koh diisytiharkan sebagai zon merah dan kita mengehadkan kemasukan sesiapa sahaja selain pasukan khas terlibat sehingga selesai operasi ini

    "Cuma kita berhubung dengan pengurus ladang di sini bagi membolehkan pekerja-pekerja ladang di sekitar kawasan memasuki kawasan yang diperlukan untuk kerja mereka, " katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih