Pengiklanan

    Hadi: M'sia berdepan krisis moral, integriti

    (Dikemaskini )

    Ketika hangat isu video seks yang didakwa melibatkan menteri, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan di media sosial mengatakan: "Malaysia kini berdepan dengan krisis integriti dan krisis moral."

    Menurut kenyataan Abdul Hadi yang dibuat secara umum itu, sesuatu perkhabaran perlu diselidiki terlebih dahulu kebenarannya.

    "Islam mengajar kita berwaspada ketika datang suatu berita yang tidak pasti kesahihannya.

    "Islam juga mengajar kita untuk menjaga maruah diri dan saudara, yang termasuk di dalam maqasid syariah yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta," katanya pada status Facebook hari ini.

    Katanya, PAS mengajak negara berpolitik secara jujur, bersih dan bermaruah.

    "Maka PAS mengajak semua pihak untuk berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, dan berpolitik secara jujur, bersih dan bermaruah demi kebaikan rakyat dan negara tercinta," kata MP Marang lagi.

    Semalam, satu klip video memaparkan dua lelaki di atas ranjang melakukan aksi lucah dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai seorang menteri kabinet.

    Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

    Sementara itu, seorang individu Haziq Abdullah Abdul Aziz pada hari ini membuat pengakuan bersumpah bahawa dia individu terbabit dalam aksi tersebut.

    Haziq yang merupakan setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

    "Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [...] dalam video yang telah viral semalam.

    "Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [...] di Hotel Four Points," katanya.

    Polis hari ini mengesahkan telah memulakan siasatan mengenai klip video seks itu.

    Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali hari ini tampil menafikan dirinya terbabit dalam sebuah video lucah yang sedang beredar di media sosial.

    “Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

    “Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Katanya, beliau akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

    “Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain,” katanya.

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih