Pengiklanan

    'Itu bukan Haziq'

    (Dikemaskini )

    Ketua cabang PKR Santubong, Ahmad Nazib Johari yakin individu yang membuat pengakuan bersumpah berhubung penularan "video intim sejenis" bukan Haziq Abdullah Abdul Aziz.

    Haziq adalah Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Santubong yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.

    Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Nazib, berkata dia cukup mengenali Haziq dan yakin individu dalam video berkenaan bukan pemimpin PKR itu.

    "Saya cam, itu bukan dia...Bukan dia Itu orang lain, itu bukan dia (Haziq).

    "Sebab kalau dilihat dikatakan apa nama video itu, selepas dia terlibat dengan jawatan lantikkan timbalan menteri, dia memang tak ada pergi gim. Dia henti aktiviti gim dia.

    "Badan sado dia memang tak ada dah...Memang dari segi muka dia (pun) bukan (Haziq). Suara pun bukan," katanya ketika dihubungi.

    Awal pagi tadi, lelaki yang dikaitkan dengan video intim bersama seorang lagi lelaki didakwa sebagai menteri kabinet membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi atas ranjang tersebut.

    Haziq yang membuat pengakuan itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

    "Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [...] dalam video yang telah viral semalam.

    "Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [...] di Hotel Four Points," katanya melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosial hari ini.

    Semalam Malaysiakini melaporkan satu rakaman video intim membabitkan dua lelaki ditularkan secara sistematik kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.

    Melalui video itu salah seorang lelaki terbabit didakwa adalah seorang menteri kabinet.

    Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kanan tersebut.

    Dalam pada itu, Ahmad Nazib mendakwa beliau adalah antara kawan paling rapat dengan Haziq dan sempat bertemunya pada hari raya Aidilfitri lalu.

    Malah beliau yakin video berkenaan telah disunting dengan niat jahat untuk menjatuhkan pemimpin tertentu.

    Ditanya mengenai hubungan baik Haziq dengan anggota Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri, Ahmad Nazib berkata ia cerita lama.

    "Politik boleh bertukar-tukar, lagipun dulu dia 'intern' untuk Nancy. Bukan dia pengikut (Nancy) atau nak jadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    "Dia tak pernah menjadi ahli PBB...dia tak pernah keluar parti dan tak pernah menyertai BN atau PBB," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih