Pengiklanan

    Beku pekerja asing bidang tertentu: Menteri tak tahu kenapa


    (Dikemaskini )

    Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mengakui beliau sendiri tidak tahu kenapa kerajaan pusat masih membekukan pengambilan pekerja asing dalam beberapa subsektor di bawah bidang perkhidmatan.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan keputusan pentadbiran PH mengekalkan tindakan kerajaan terdahulu untuk membekukan pengambilan pekerja asing dalam tujuh subsektor di bawah bidang perkhidmatan.

    "Saya sendiri tidak tahu kenapa ia dibekukan?

    "Saya tanya pegawai dari kementerian saya dan juga tanya kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri)? Namun, tiada maklum balas yang spesifik," katanya di sesi Town Hall, anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Brickfields, semalam.

    Jelasnya, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet untuk membenarkan semula pengambilan pekerja asing dalam tujuh subsektor bidang perkhidmatan berkenaan.

    "Ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk meyakinkan anggota kabinet yang lain untuk membuka semula sub sektor ini untuk mengambil pekerja asing," katanya di hadapan lebih 500 peniaga India yang hadir ke sesi tersebut.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Jeffrey Joakim dan pegawai-pegawai daripada Kementerian Sumber Manusia.

    Terdahulu, MAICCI meminta kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mengekalkan pembekuan terhadap tujuh subsektor dalam bidang perkhidmatan itu.

    Menurut Presiden MAICCI, N Gobalakrishnan tujuh subsektor tersebut adalah industri tekstil, gunting rambut, tukang emas, peruncit dan pemborong, restoran, besi buruk dan logam serta pengedar surat khabar.

    "Sektor-sektor ini dibekukan sejak tahun 2009. Kerajaan terdahulu tidak pernah bagi satu alasan spesifik tindakan pembekuan ini. Yang jelas adalah majoriti pemain-pemain industri dalam sektor-sektor ini adalah peniaga India.

    "Kami berterima kasih kepada kerajaan PH kerana sudi memberi keloggaran di sektor restoran dan runcit dan pemborong. Harap kelonggaran ini dipanjangkan ke sektor lain yang masih dibekukan," katanya.

    Terdahulu, MAICCI turut menyerahkan satu memorandum kepada Kulasegaran supaya membawa rintihan peniaga-peniaga India ke kabinet.

    Gobalakrishnan turut mengesahkan akan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk segera campur tangan dalam isu ini.

    MAICCI merupakan sebuah gabungan dewan perniagaan merangkumi 20 pertubuhan mewakili lebih 36,000 peniaga India di negara ini.  

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih