malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Puluhan ribu paksa perbahasan RUU ekstradisi Hong Kong ditangguh
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM
ADS

GLOBAL l Puluhan ribu penunjuk perasaan terus membanjiri bandar Hong Kong selepas menyekat jalan-jalan utama berhampiran bangunan kerajaan bagi memaksa penangguhan perbahasan kedua rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan orang ramai dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan.

Para penunjuk perasaan, yang kebanyakan mereka berpakaian hitam, meletakkan penghadang bagi menyekat jalan raya di kota pusat kewangan Asia itu. Keadaan hampir serupa dengan bantahan pro demokrasi “Occupy” yang menggegarkan kota itu pada tahun 2014.

Penunjuk perasaan berhimpun di sekitar Jalan Lung Wo, berhampiran pejabat Ketua Eksekutif Carrie Lam, sambil dikawal ratusan polis pencegah rusuhan yang dilengkapi belantan dan perisai plastik. Polis juga mengarahkan mereka supaya bersurai.

 

"Bukankah pada akhir pergerakan Payung kita kata kita akan kembali?" kata wakil rakyat pro-demokrasi Claudia Mo, merujuk kepada nama yang sering digunakan untuk perhimpunan “Occupy” pada 2014.

"Sekarang kita sudah kembali!" katanya sambil penyokong mengulangi kata-katanya.

Lam sebelum ini berikrar untuk meluluskan undang-undang itu walaupun terdapat kebimbangan, termasuk di kalangan pemimpin perniagaan, bahawa ini boleh menghakis kebebasan dan keyakinan pelabur, serta mengurangkan kelebihan daya saing bandar berkenaan.

Bantan terhadap rang undang-undang  itu mencetuskan tunjuk perasaan politik paling besar sejak penyerahan kembali Hong Kong yang ditadbir British kepada China pada 1997.

 

Sehubungan dengan tunjuk perasaan besar-besaran itu, sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan yang dijadualkan hari ini, akan ditangguhkan hingga notis lanjut.

Majlis Perundangan Hong Kong yang mempunyai 70 kerusi itu didominasi oleh wakil rakyat yang setia kepada Beijing.

Keputusan undian akhir hanya akan diketahui selewat-lewatnya pada 20 Jun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen