Pengiklanan

    Geng curi kenderaan 'Alan Boy' tumpas


    (Dikemaskini )

    Geng Alan Boy yang aktif mencuri kenderaan di sekitar bandar raya ini tumpas selepas 11 lelaki tempatan berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah kilang di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di Johor Bharu, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata serbuan di stor penyimpanan di Batu 13 itu dilakukan pada 8.30 malam hasil risikan selama seminggu oleh pegawai dan anggota Balai Polis Ulu Tiram.

    Beliau berkata kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan antara sebulan dan dua bulan lepas.

    Katanya, pemeriksaan dalam stor penyimpanan tersebut menemui 13 kenderaan dengan enam kereta serta dua rangka motosikal didapati dicuri di sekitar kawasan Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Kota Tinggi.

    “Kesemua enam kereta terbabit melibatkan tiga Proton Saga, dua Proton Iswara serta sebuah Honda Civic.

    “Kenderaan yang dirampas masih berserta nombor pendaftaran asal, kemungkinan ia akan dipotong dan dijual sebagai alat ganti,” katanya kepada pemberita, di Johor Bharu, hari ini.

    Ismail berkata kesemua 11 lelaki berumur antara 29 dan 45 tahun itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah, namun, kesemuanya didapati negatif terhadap dadah.

    Beliau berkata pihaknya percaya berjaya menyelesaikan enam kes curi kenderaan dengan penahanan kesemua lelaki terbabit dan kini sedang memburu seorang lagi lelaki dikenali sebagai ‘Alan Boy’, berumur 30an yang dipercayai merupakan dalang kegiatan itu.

    Katanya, kesemua suspek kini direman selama tiga hari mulai semalam sehingga esok untuk siasatan mengikut Sesyen 379 A Kanun Keseksaan dan 29 (1) Undang-Undang Kesalahan Kecil.


    -- Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih