Pengiklanan

    Kapal bawa 64 etnik Rohingya tersadai di Selatan Thailand


    (Dikemaskini )

    GLOBAL | Pihak berkuasa Thailand menemui sebuah kapal nelayan yang membawa 64 etnik Rohingya, termasuk lima kanak-kanak tersadai di Pulau Rawi di perairan Satun, semalam.

    Pegawai Tentera Laut Komander Thanapong Sudrak berkata kumpulan itu yang terdiri daripada 31 perempuan, 28 lelaki dan lima kanak-kanak serta seorang warga tempatan Thai, mendakwa kapal mereka telah rosak.

    Beliau berkata warga tempatan itu dan lima lagi etnik Rohingya di dalam kumpulan berkenaan dipercayai ‘orang tengah’ yang terlibat membawa etnik Rohingya itu memasuki negara ketiga.

    “Siasatan lanjut akan dibuat sama ada kumpulan itu adalah mangsa pemerdagangan manusia atau sebaliknya,” katanya.

    Kini, kumpulan itu telah dibawa ke Daerah La Ngu, Satun dan diberikan makanan serta minuman sementara menunggu siasatan lanjut.

    Media melaporkan kira-kira 740,000 etnik Rohingya, penduduk minoriti Islam di Myanmar yang ditindas sehingga memaksa mereka menyelamatkan diri dan berlindung ke sempadan dalam serangan pada 2017, kini berlindung di kem penempatan sementara yang sesak di Bangladesh.

    Pada November 2017, Bangladesh dan Myanmar menandatangani perjanjian penghantaran pulang namun sehingga kini tiada pelarian Rohingya yang menawarkan diri untuk pulang ke kampung halaman mereka, secara sukarela.

    Namun, ramai masih yang bimbang mengenai keselamatan masing-masing jika mereka kembali ke Myanmar, apabila penduduk minoriti Islam berdepan penindasan dan dinafikan hak mereka sejak berdekad lamanya.


    -- Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih