malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video seks: 'Lapor ke pihak berkuasa, bukan di media sosial'
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 2:14 PM
Dikemaskini: 6:59 AM
ADS

Haziq Abdullah Abdul Aziz perlu membuat laporan terhadap pihak berkuasa jika dia serius dengan dakwaan yang dibuatnya, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Haziq, yang merupakan setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin, membuat pengakuan sebagai lelaki yang dirakam dalam video seks yang menyasarkan seorang menteri.

Dia juga menggesa lelaki itu disiasat atas tuduhan rasuah.

Fahmi bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

"Ini adalah tuduhan serius dan jika Haziq serius dalam mebuat dakwaan itu, dia sepatutnya buat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukan hanya (buat dakwaan) di Facebook.

"Itu tidak memadai dan tak boleh dijadikan bukti di mahkamah kecuali di buat laporan polis," katanya yang juga anggota parlimen Pantai Dalam.

Haziq membuat pengakuan itu menerusi video awal pagi tadi. Awal pagi semalam, beberapa video memaparkan dua lelaki dalam keadaan intim disebarkan kepada media dan anggota PKR.

Menurut Fahmi, Haziq ada menghadiri program PKR pada masa lalu tetapi tidak pasti tentang status keanggotaannya sekarang.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bagi meminta penjelasan berkenaan status itu.

Fahmi juga tidak mengulas lanjut apabila ditanya sama ada video itu serangan dari dalam parti atau oleh pihak luar.

Katanya isu itu mungkin akan dibangkitkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam ini.

"Saya rasa masih awal untuk kami putuskan tindakan selanjutnya. Kami mungkin akan membincangkan dalam mesyuarat biro politik.

"Ada banyak isu (perlu dibincangkan) dan ini mungkin salah satu daripadanya," katanya lagi.

Lihat Komen