malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Samsuri terima pencalonan, tapi berat hati lawan 3 ‘abang’
Diterbitkan:  Jun 12, 2019 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM
ADS

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan yang beliau menerima pencalonan bagi merebut jawatan naib presiden PAS dengan "berat hati".

Ini kerana katanya, tiga penyandang jawatan itu sebelum ini telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik.

"Walaupun hati saya berasa berat kerana mengenangkan penyandang yang ada sekarang ini yang saya kategorikan sebagai insan-insan yang hebat.

"Mereka adalah abang-abang saya memberi banyak tunjuk ajar kepada saya… sebab itu saya berasa memang berat untuk menerima pencalonan ini.

"Apa pun saya serahkan kepada perwakilan," katanya dalam satu sidang media yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Dr Mohd Fuad Mohd Salleh semalam dalam satu kenyataan mengumumkan senarai calon bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu termasuk empat nama dicalonkan merebut kerusi naib presiden.

Ia menjadikan pertembungan empat penjuru akan berlaku bagi merebut jawatan itu apabila menteri besar Terengganu turut dicalonkan bagi menduduki kerusi berkenaan.

Selain Ahmad Samsuri, tiga penyandang jawatan Naib Presiden, Idris Ahmad, Iskandar Samad dan Mohd Amar Nik Abdullah turut dicalonkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka itu.

Hari ini adalah hari akhir bagi mana-mana individu yang dicalonkan untuk menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan PAS.

Muktamar PAS kali ke-65 akan berlangsung di Kuantan, Pahang bermula dari 21 Jun hingga 23 Jun nanti.

Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika ditanya sama ada telah memuktamadkan keputusannya atau akan menarik diri.

"Buat masa ini macam itu lah (bertanding), kerana menghormati pencalon-pencalonan daripada kawasan, akar umbi," katanya.

Lihat Komen