malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video seks: Adun PKR hairan Lokman Adam respon awal
ADS

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri melahirkan rasa hairan bagaimana Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menjadi individu yang mengeluarkan maklum balas terawal berkaitan video seks yang menyasarkan seorang menteri kabinet.

Azmizam juga melihat perkara itu seolah-olah dirancang dengan baik oleh pihak tertentu.

“Sebab kita lihat respon paling cepat dari Lokman Adam, dirancang dengan rapi, eh cepat betul (Lokman respon), bila kau tidur sebab benda tu masuk (video tersebar) jam satu pagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sekitar 1.25 pagi semalam, beberapa wartawan Malaysiakini dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Hari Raya ###” di mana tiga klip video tersebut dikongsikan.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan intim, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan klip video tersebut.

Lokman mengeluarkan kenyataan media melalui Whatsappnya pada jam 10.04 pagi yang berkata dia akan membuat satu laporan polis terhadap klip video tersebut.

“Laporan ini saya buat bagi menyiasat kesahihan video tersebut dan meminta pihak polis mengambil tindakan undang-undng kepada individu yang menyebarkan, yang berlakon dan menghasilkan video tersebut,” kata Lokman.

Pemimpin Umno itu turut membuat satu laporan SPRM berhubung tuduhan bahawa menteri tersebut menerima AS$741,440 daripada satu konglomerat pada Disember 2017.

Azmizam turut yakin dalang penyebaran video itu bukan dilakukan pihak dalam PKR sebaliknya menuding jari kepada pembangkang.

“Saya yakin 100 peratus video diedit, tak mungkin menteri macam itu, saya harap mereka buat fitnah hentikan buat begini di bulan Syawal, tak ada faedah, ini cara nak jatuhkan menteri xxxxx, mereka silap langkah sebab saya kenal sangat yang berhormat xxxx dan dia bukan macam ni.

“Saya yakin lepas ni akan ada lagi video yang macam-macam dan ini adalah satu gerakan sangat keji,” katanya.

Azmizam juga berkata menteri kabinet tersebut tidak perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana dia tidak melakukan perkara tersebut.

Selain itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu juga berkata partinya tidak perlu melayan isu tersebut.

“Rata-rata pemimpin dalam PKR tak percaya sebab kita kenal siapa xxxx. Tak mungkinlah (dia lakukan) dengan lelaki,” katanya.

Azmizam turut berkata video tersebut kelihatan disunting dengan teruk.

“Budaya fitnah memang dah lama, Anwar (Ibrahim) pun memang dikaitkan dengan benda macam ni dan saya memang tak percaya dari dulu, waima siapapun melainkan benda itu betul, tapi benda tak betul," katanya lagi.

“Nampak sangat video itu disunting. Nak kata profesional tak juga, dia amatur sebab itu dia (video itu) terang gelap terang gelap dan muka macam tak ada perasaan sebab sekarang banyak software, teknologi sekarang pun macam-macam, ambil muka dah boleh letak kat mana-mana,” katanya.

Lihat Komen