malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Sistem imun penduduk Kuala Koh 'terjejas'
ADS

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata sistem imun (pertahanan badan melawan penyakit) di kalangan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh telah terjejas berpunca daripada masalah kekurangan zat.

Terdahulu, dilaporkan separuh penduduk Orang Asli di kawasan itu telah dijangkiti wabak penyakit.

Beliau berkata perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kerajaan telah menghantar makanan tambahan dan bekalan yang diperlukan.

"Kami segera membekalkan semua suplemen ini untuk menangani masalah kekurangan zat dan ada yang tidak divaksin. Sistem imun badan mereka terjejas dan perlu diberikan semua (bekalan yang diperlukan) - vitamin dan semua itu untuk menangani kekurangan gizi," katanya.

Aktivis alam sekitar mendakwa aktiviti pembalakan dan perlombongan menjadi punca kemerosotan kualiti hidup di perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan itu.

Walaupun Dr Dzulkefly tidak menolak faktor logam berat boleh menjejaskan kesihatan penduduk kampung, beliau berkata bukti menunjukkan pada tahap penyakit akut yang masih belum dikenal pasti itu, ia mungkin berpunca daripada patogen (mikroorganisma, seperti kulat, bakteria yang menyebabkan penyakit) dan bukanlah bahan kimia.

"Pada asasnya bukan kimia ... Mereka bercakap tentang pencemaran dan lombong tetapi pada tahap penyakit akut ini, ia disebabkan oleh patogen.

"Berdasarkan pada sinar-X sahaja, anda dapat lihat radang paru-paru ... (jika ia adalah) kimia, anda akan mempunyai patch interstis (ruang udara) pada sinar-X tetapi ini anda lihat lobar (radang paru-paru) yang biasanya (menunjukkan) patogen," katanya.

Menjelaskan lanjut, katanya ini berdasarkan bedah siasat dua mayat yang meninggal dunia akibat penyakit yang masih menjadi belum dikenal pasti itu.

Penduduk kampung mendakwa 12 orang lain juga telah meninggal dunia akibat gejala yang sama pada bulan lepas tetapi pihak berkuasa masih belum memutuskan jika mahu menggali semula kubur mereka untuk bedah siasat.

Walau bagaimanapun, beliau berkata keputusan ujian masih dijalankan untuk menentukan sama ada mikro organisme itu merupakan sejenis virus atau bakteria.

Mengenai gejala lain yang menimpa penduduk Orang Asli berkenaan, Dzulkefly berkata ia barangkali disebabkan oleh kekurangan zat makanan atau logam berat.

"Ia sangat mungkin terjadi - apabila kami dapat melihat kanak-kanak dengan penyakit kulit seperti hyperkeratosis dan scaling, ia boleh saja disebabkan kekurangan zat makanan atau beberapa jenis logam berat - saya tidak mahu mengatakan ini tetapi terdapat kebarangkaliannya.

"Kami sedang menunggu hasil analisis kimia air," katanya.

Dzulkefly berkata penyakit yang tidak dikenali itu telah menjejaskan 99 daripada 185 penduduk Orang Asli di kampung itu, atau 53.5 peratus.

Sehingga tengah hari ini, beliau berkata seramai 40 orang telah menerima rawatan pesakit luar sementara 41 pesakit ditempatkan di wad biasa, manakala empat orang sedang dalam jagaan di unit rawatan rapi di pelbagai kemudahan kesihatan di Gua Musang dan Kuala Krai.

Sementara itu, jelas Dr Dzulkefly, seramai 14 orang lagi diletakkan dalam pengasingan di kemudahan perubatan Orang Asli.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen