malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Empat Orang Asli Kuala Koh ditempatkan di ICU
ADS

Empat pesakit Orang Asli suku Batek ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai sejak Ahad lepas akibat gangguan saluran pernafasan.

Pengarah Hospital Kuala Krai Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata ia membabitkan dua pesakit wanita masing-masing berumur 12 dan 27 tahun yang ditempatkan di ICU manakala dua pesakit kanak-kanak berusia 39 hari dan tiga bulan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

"Keadaan empat pesakit ini dilaporkan stabil dan kami sentiasa memantau perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa,'' katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Kuala Krai di Kuala Krai hari ini.

Mohd Salleh berkata sehingga hari ini, seramai 24 pesakit Orang Asli suku Batek sedang menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital tersebut sejak beberapa hari lepas dan ditempatkan di wad kluster khas.

"Seramai 13 pesakit lelaki dan 11 pesakit wanita sedang menerima rawatan dan pemantauan dilakukan oleh 23 kakitangan hospital termasuk doktor pakar yang ditugaskan bagi memastikan keadaan semua pesakit ini berada dalam keadaan baik dan sihat," katanya.

Dr Mohd Salleh berkata pihaknya turut mengehadkan lawatan orang ramai ke wad kluster berkenaan bagi mengelakkan jangkitan daripada merebak.

Beliau berkata setakat ini tiada pesakit yang dibenarkan pulang dan pihaknya akan terus melakukan rawatan sehingga keadaan pesakit benar-benar pulih.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas.

- Bernama

Lihat Komen