malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan Najib Razak bersambung untuk hari ke-22 hari ini.

Semalam bekas pengerusi SRC International Sdn Bhd (SRC), Ismee Ismail, memberitahu mahkamah bekas perdana menteri itu memberi arahan - melalui pengarah syarikat tersebut, Nik Faisal Ariff Kamil - supaya menghantar kumpulan pertama wang bernilai RM1.5 bilion ke luar negara untuk tujuan pelaburan.

Wang itu adalah sebahagian daripada dana yang dipinjam SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) milik kerajaan.

Malaysiakini melaporkan perjalanan perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu di sini.

LANGSUNG

5.25 petang: Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung semula jam 9 pagi esok. 

4 petang: Bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, mengakui lembaga pengarah syarikat itu tidak pernah mendapatkan pengesahan sama ada Nik Faisal Ariff Kamil memang bertindak sebagai perantara syarikat terbabit dengan Najib.

Sebelum itu peguam Harvinderjit Singh merujuk kenyataan bertulis Ismee yang mendakwa Nik Faisal adalah perantara yang menghubungkan lembaga pengarah dan Najib apabila ada isu yang perlu dibangkitkan kepada perdana menteri ketika itu.

Sebelum itu mahkamah diberitahu Najib - yang turut menjadi menteri kewangan dan mengetuai MOF Inc - turut dilantik sebagai penasihat emeritus SRC.

Harvinderjit: Sama ada Nik Faisal ada berbincang dengan Najib sebagai penasihat emeritus lembaga (pengarah SRC) tidak pernah - pada sebarang masa - menulis (surat) meminta pengesahan. Kamu hanya menerima (mempercayai) apa saja yang dikatakan Nik Faisal. Ia tidak kedengaran pelik dan kelihatan benar.

Ismee: Ya.


3.35 petang: Sesekali suasana soal jawab yang berlangsung secara serius - dan kadang-kadang tegang - turut diisi detik santai dan ketawa spontan.

Hal itu terjadi ketika Harvinderjit Singh, meneruskan soalan balas ke atas saksi ke-39 pendakwaan, Ismee Ismail.

Ditanya peguam bela Najib mengenai sebab Ismee menjadi pilihan menduduki jawatan dalam SRC, beliau berkata anggota lembaga pengarah lain juga memiliki banyak pengalaman mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

Harvinderjit: Ya, pengarah-pengarah itu ada pengalaman, (justeru) tak ada halangan untuk sesiapa dilantik oleh perdana menteri (menduduki jawatan dalam syarikat) seperti peruntukan (memorandum persatuan SRC).

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Pelantikan itu bermaksud ada sejumlah keyakinan bahawa kamu boleh melindungi kepentingan syarikat?

Ismee: Ya. Sebenarnya saya malu.

Kenyataan itu menyebabkan orang ramai yang mengikuti perbicaraan itu ketawa.


2.40 petang: Prosiding sebelah petang bersedia bermula, Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, menyambung soal balas saksi ke-39 pendakwaan, Ismee Ismail, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif dan pengerusi SRC.


1.03 petang: Perbicaraan ditangguhkan untuk rehat tengah hari. Ia akan disambung pada jam 2.30 petang nanti.


12.50 tengah hari: Peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, kelihatan tidak berpuas hati apabila Ismee Ismail mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan pelantikan Nik Faisal Ariff Kamil.

Terdahulu Ismee mendakwa Nik Faisal dilantik sebagai pengarah SRC dengan arahan Lembaga Pengarah 1MDB dengan arahan pemegang saham 1MDB.

Pemegang saham 1MDB ialah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang berada di bawah kawalan secara langsung Najib selaku menteri kewangan ketika itu.

Harvinderjit meminta Ismee menunjukkan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah 1MDB melantik pengarah SRC.

Menjawab soalan itu, Ismee berkata, itu adalah realiti di SRC apabila mereka mempunyai susunan laporan (line of reporting) kepada perdana menteri dan perlukan kebenarannya untuk melantik pengarah.

Bagaimanapun kemudian Ismee bersetuju bahawa Memorandum dan Artikel (M&A) SRC menyatakan hanya anggota lembaga pengarah yang boleh menentukan siapa yang sesuai dilantik menjadi pengarah syarikat.

Pada masa sama Ismee menegaskan Najib mempunyai peranan dalam pelantikan Nik Faisal kerana bekas perdana menteri itu saja yang boleh mengabsahkan pelantikan tersebut.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaian mengenai maksud peranan Najib mengabsahkan pelantikan. Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat tengah hari.


12.45 tengah hari: Nik Faisal Ariff Kamil dilantik sebagai pengarah SRC pada 2011 atas arahan Najib Razak, kata saksi Ismee Ismail, di depan hakim hari ini.

Memberi keterangan semas disoal balas peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ismee memberitahu pelantikan Nik Faisal dibuat oleh Lembaga Pengarah 1MDB yang menjadi syarikat pemilik SRC ketika itu.

Katanya keputusan itu dibuat lembaga pengarah 1MDB selepas mereka menerima resolusi pemegang saham syarikat terbabit untuk melantik Nik Faisal.

Sebagai rekod Ismee juga menjadi salah seorang anggota Lembaga Pengarah 1MDB.


10.45 pagi: Bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, mengakui beliau tidak melihat sendiri Najib menandatangani minit mesyuarat agung luar biasa syarikat itu pada 23 Apr 2012 yang meluluskan pindaan memorandum persatuan (memorandum of association).

Untuk rekod memorandum persatuan menerangkan beberapa perkara termasuk nama syarikat, lokasi pejabat berdaftar, kuasa dan liabiliti syarikat serta modal yang dibenarkan.

Pindaan yang dibuat pada memorandum tersebut melilbatkan fasal 117 yang membawa kepada pelantikan Najib sebagai penasihat emeritus SRC.

Terdahulu, mahkamah diberitahu pindaan berkenaan menyebabkan anggota Lembaga Pengarah SRC dikehendaki memberi pertimbangan dan melaksanakan nasihat Najib yang ketika itu menteri kewangan dan sebahagian daripada MOC Inc yang memiliki syarikat terbabit secara langsung.

Semasa disoal balas oleh Harvinderjit Singh, Ismee mengakui beliau bergantung sepenuhnya kepada apa yang dikatakan Nik Faisal mengenai pertemuan tersebut semasa ia dilaporkan kepada Lembaga Pengarah SRC pada 8 Jun 2012.


10.12 pagi: Saksi, Ismee Ismail, mengakui beliau tidak dapat mengesahkan ketulenan minit mesyuarat didakwa merekodkan pertemuan pengarah syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil, dengan Najib Razak.

Bekas pengerusi SRC itu berkata demikian semasa disoal balas peguam bela Najib, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit mengambil masa hampir sejam menyoal Ismee yang juga saksi ke-39 pendakwaan.

Sebelum ini Ismee memberitahu mahkamah, beliau mendapat minit mesyuarat berlangsung pada 7 Sept 2011 berkenaan daripada Nik Faisal selepas dia memberi taklimat kepada Lembaga Pengarah SRC pada 13 Sept 2011.

Harvinderjit: Kamu sebenarnya tidak boleh mengesahkan bahawa ini ialah dokumen sebenar (mengenai pertemuan didakwa berlangsung pada 7 Sept 2011) yang dibangkitkan Nik Faisal dalam mesyuarat (pada 13 Sept) kerana kamu tidak pernah memeriksanya selepas pertemuan itu?

Ismee: Ya.


9.05 pagi: Najib Razak melangkah masuk kandang tertuduh selepas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersedia memulakan perbicaraan. 

Di sisi yang lain, peguam bela Najib - diketuai Muhammad Shafee Abdullah - juga sudah bersedia.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff akan menyambung semula tugasnya menyoal saksi ke-39 pendakwaan, Ismee Ismail.


8.58 pagi: Tertuduh, Najib Razak, tiba dan menunggu perbicaraan bermula.

Turut kelihatan Peguam Negara Tommy Thomas dan anggota lain yang dipilih menyertai kumpulan pendakwaan.

Di pihak lain, pasukan pembelaan juga bersedia menjalankan tugas mereka.


SRC - yang kemudian menjadi milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) pada 2012 - menerima pinjaman RM2 bilion pertama daripada KWAP pada Ogos 2011.

Baki RM2 bilion lagi disalurkan daripada KWAP kepada SRC kira-kira tujuh bulan kemudian.

Apabila pasukan pendakwaan menyambung semula soalannya kepada Ismee di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini saksi ke-39 itu dijangka memberikan lebih banyak maklumat mengenai peranan Najib yang didakwa mengeluarkan arahan untuk memindahkan dana RM4 bilion itu menjadi pelaburan dalam dan luar negara.

Semalam Ismee mendakwa arahan Najib itu dibuat dalam pertemuan bekas presiden Umno itu dengan Nik Faisal pada 7 Sept 201 dan ia kemudian disampaikan kepada anggota Lembaga Pengarah SRC enam hari kemudian.

Ismee Ismail

Kata Ismee ekoran kebimbangan terhadap cara dana itu diuruskan, semua Lembaga Pengarah SRC berkunjung ke syarikat BSI Switzerland pada Sept 2013 untuk menyemak sama ada ia masih ada di situ atau tidak.

Apa yang berlaku dalam pertemuan Nik Faisal dan Najib pada 7 Sept 2011 itu menjadi perhatian semalam apabila peguam bela tertuduh membantah usaha pasukan pendakwaan mengemukakan minit mesyuarat tersebut sebagai barang kes.

Hakim kemudian memutuskan minit mesyuarat yang didakwa melaporkan pertemuan Najib dan Nik Faisal ditandakan sebagai item ID dan bukan ekshibit.

Lihat Komen