malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saksi: Najib sokong SRC labur RM1.5 bilion di luar negara
ADS

KES NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak pada 2011 menyokong keputusan SRC International Sdn Bhd untuk melaburkan RM1.5 bilion di luar negara, kata bekas pengerusi lembaga pengarah syarikat itu Ismee Ismail hari ini.

Beliau yang menjadi saksi ke-39 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib menyokong keputusan itu ketika pertemuan dengan CEO Nik Faisal Ariff Kamil pada 7 September tahun itu.

Ia selepas SRC International mendapat pinjaman RM2 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 29 Ogos 2011. KWAP meluluskan pinjaman RM2 bilion lagi pada Mac tahun berikutnya.

Empat lagi ahli lembaga pengarah diberi taklimat oleh Nik Faisal berkenaan pertemuannya dengan Najib dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 13 September.

"Saya minta salinan minit daripadanya. Saya tak ingat sama ada dia menunjukkannya kepada lembaga pengarah," kata Ismee ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ishak Mohd Yusoff.

Ismee berkata, Nik Faisal juga memberi taklimat kepada ahli lembaga pengarah bahawa syarikat itu patut melapor secara terus kepada perdana menteri.

Menurutnya lagi, Najib merupakan penasihat emeritus SRC International dan bertanggungjawab mengambil atau memecat pengarah syarikat, seperti yang dinyatakan dalam memorandum dan tataurusan persatuan syarikat itu.

Ismee Ismail

Terdahulu, pihak pendakwaan cuba menjadikan minit mesyuarat 7 September itu sebagai bahan bukti tetapi dibantah pihak pembelaan yang berkata dokumen itu "palsu", kerana tidak diketahui bagaimana minit itu diperolehi.

Kedua-dua pihak berbalas hujah, dengan pihak pendakwaan berkata minit mesyuarat 13 September itu menyokong kandungan minit mesyuarat 7 September.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memutuskan minit mesyuarat 7 September itu tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti selati pegawai siasatan SPRM yang merampas dokumen itu - hanya dikenali sebagai "Rosli" - dipanggil mahkamah.

Pihak pendakwaan tidak memperincikan tentang wang RM1.5 bilion itu serta apa yang berlaku kepada baki RM500 juta. Difahamkan ia akan diketahui dalam perbicaraan nanti.

Malaysiakini tidak dapat melihat minit mesyuarat 13 September itu, yang diterima sebagai bukti.

Sementara itu, Ismee juga berkata pada 14 Februari 2012, lembaga pengarah menerima - melalui Nik Faisal - arahan bertulis pemegang saham untuk memindahkan hak milik SRC International kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Ketika itu SRC International adalah subsidiari 1MDB yang dimiliki MOF Inc. MOF Inc pula dikawal oleh menteri kewangan ketika itu iaitu Najib.

Kata Ismee, arahan pemindahan hak milik itu mengandungi tandatangan Najib.

Beliau berkata lembaga pengarah tidak boleh berbuat apa-apa kerana perkara itu tertakluk kepada pemegang saham.

Ishak: Bolehkah lembaga pengarah pertimbang semula perkara ini?

Ismee: Saya rasa ini untuk pemegang saham.

Ishak: Jadi boleh atau tidak (lembaga pengarah mengubah keputusan)?

Ismee: Kami tak boleh. Kerana ia untuk pemegang saham, bukan pengarah SRC. (Because it was the issue for shareholder, not for SRC directors)

Dalam keterangannya, Ismee turut berkata ketika mesyuarat 14 Februari, lembaga pengarah membincangkan satu lagi cadangan Nik Faisal untuk meminjam RM2 bilion lagi daripada KWAP. Pinjaman itu disalurkan pada 28 Mac tahun sama.

Ismee memberitahu beliau meletakkan jawatan sebagai pengarah pada 2014 kerana tidak setuju dengan cara Nik Faisal menguruskan syarikat.

Antara 2006 hingga 2016, Ismee menjadi pengarah urusan dan CEO Tabung Haji. Beliau dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif 1MDB pada 2009.

Pada Januari 2011, beliau menyertai lembaga pengarah SRC International bersama-sama Suboh Md Yasin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azrol Ibrahim Halmi dan Nik Faisal.

Pada 2017, beliau dilantik sebagai pengerusi Media Prima Bhd dan meletakkan jawatan pada Mei 2018.

Lihat Komen