malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak cukup kakitangan nak siasat semua dakwaan salah laku BN, kata PM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan kekurangan tenaga kerja untuk menyiasat setiap dakwaan salah laku dalam pentadbiran lalu.

Beliau mengulas gesaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang agar beberapa bekas pegawai tinggi serta bekas menteri, disiasat atas dakwaan peranan mereka dalam "Week of Long Knives" pada Julai dan Ogos 2015.

"Kita dapati kerajaan yang ditewaskan (pada PRU lalu) mempunyai ramai yang melakukan jenayah, tetapi pada waktu ini tak mungkin kalau nak tumpu kepada semua kerana kita kekurangan tenaga (kerja).

"Pada waktu ini, kita tumpu kepada kes-kes yang amat serius umpamanya (bekas) perdana menteri yang menyebabkan wang KWAP (Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan) lesap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Jasin, Melaka hari ini, selepas melancarkan program Rumah Peduli Rakyat di situ.

Terdahulu, Lim menggesa bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, bekas menteri Abdul Rahman Dahlan, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa dan bekas ketua pengarah jabatan perkhidmatan awam Mohamad Zabidi Zainal disiasat.

"Adakah terdapat cubaan rampasan kuasa terhadap Najib membabitkan pendakwaan terhadapnya untuk kesalahan rasuah pada minggu terakhir Julai 2015 yang sebelum ini telah digagalkan susulan pemecatan peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail?

"Rakyat Malaysia kini berada dalam demokrasi berparlimen dan dalam era maklumat, dan mereka berhak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam operasi ‘cloak-and-dagger’ sepanjang tempoh 'Week of Long Knives' pada bulan Julai / Ogos 2015 di Putrajaya," katanya.

Sementara itu, Mahathir turut menjelaskan lebih lanjut ucapannya hari ini berkenaan penjawat awam yang tidak patut terikat dengan parti pemerintah.

Katanya, penjawat awam boleh menganggotai parti politik tetapi tidak sepatutnya menjadi pemimpin parti.

Katanya lagi, mereka juga perlu kekal berkecuali dalam menjalankan tugas dan tidak dipengaruhi pendirian politik.

Mahathir turut menjelaskan mereka yang telah menyokong parti pemerintah sejak dari awal berhak untuk dilantik dalam badan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, mereka telah bekerja keras untuk kejayaan parti pemerintah dan maka lebih layak berbanding pihak yang tidak berbuat apa-apa.

"Tentulah kita tak lantik mereka sebagai pengerusi badan kerajaan tetapi mereka ada hak untuk menjadi anggota badan kerajaan dan syarikat kerajaan.

"Jika tidak, mereka yang tidak membantu yang mendapat ganjaran sementara yang membantu tak dapat. Itu tidak adil," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen