malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM tepis dakwaan lantik Latheefa untuk 'sasarkan' Anwar
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan bahawa pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah untuk 'mensasarkan' Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Mereka boleh membuat pelbagai tuduhan tetapi sebenarnya saya pilih orang yang layak," katanya kepada pemberita di Melaka petang ini.

Mahathir berkata demikian bagi menjawab kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong, yang 'risaukan' nasib Anwar berikutan pelantikan Latheefa.

Menurut Wee, beliau berasa terganggu kerana Latheefa memang diketahui 'mensasarkan' Anwar.

"Saya harap pelantikannya bukan sebahagian daripada konspirasi besar untuk menghentikan Anwar daripada menjadi perdana menteri berikutnya," kata Wee.

Bagaimanapun, Mahathir sekali menegaskan beliau membuat keputusan berkenaan kerana berpendapat Latheefa paling sesuai untuk memikul tugas itu.

"Latheefa Koya kita dapati adalah seorang yang lulus, yang mengambil kerjanya dengan serius dan kualiti itu yang menentukan kita pilih Latheefa Koya, bukan kerana dia tak setuju itu, tak setuju ini," kata Mahathir.

Latheefa, yang meletak jawatan sebagai ahli PKR berikutan pelantikan beliau, dikenali merupakan penyokong dalam kem timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Sebelum ini, Latheefa menuduh Anwar mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam melantik pengerusi PKR negeri.

Susulan kenyataan beliau, anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM pada Selasa lalu. Beliau berkata hanya diberitahu berkenaan perkara itu sehari sebelumnya.

Susulan pelantikan itu, timbul gesaan agar beliau meletakkan jawatan kerana pendirian politiknya dikatakan akan menjejaskan kebebasannya dalam melaksanakan tugas.

Ada juga pihak yang mengakui kelayakan Latheefa tetapi mengkritik cara pelantikan tersebut yang bertentangan dengan Janji 14 manifesto PH - bahawa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM perlu "disahkan secara demokratik oleh Parlimen".

Lihat Komen