malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suami Syazlin letak jawatan setiausaha akhbar Zuraida
Diterbitkan:  Jun 10, 2019 3:23 PM
Dikemaskini: 7:24 AM
ADS

Ahmad Soffian Mohd Sahriff meletakkan jawatan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Soffian berkata telah menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini dan akan mengambil cuti selama sebulan.

Dia merupakan bekas pegawai perhubungan awam Institut Wanita Berdaya Selangor dan juga suami kepada peguam Syazlin Mansor, yang diarahkan menarik diri daripada inkues berkenaan kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sebelum ini Peguam Negara Tommy Thomas berkata Syazlin diarah berbuat demikian ekoran risiko berlakunya konflik kepentingan memandangkan dia turut mewakili keluarga Adib, selain mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Thomas turut menyebut hubungan Syazlin dengan salah seorang pembantu menteri serta sebahagian pendiriannya yang bertentangan dengan timbalan pendakwa raya inkues, sebagai sebab dia diarah menarik diri.

Kemudian Syazlin didapati mewakili pihak kerajaan secara pro bono (percuma).

Sementara itu Zuraida mengesahkan peletakan jawatan Ahmad Soffian dan berkata beliau menerimanya melalui Whatsapp.

"Ahmad Soffian merupakan kakitangan yang berdedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan beliau.

"Secara prinsipnya saya menghormati keputusan yang diambilnya. Namun memandangkan ketika ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya ke tanah air," katanya dalam kenyataan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad Soffian enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Zuraida pula berkata beliau juga tidak tahu tentangnya kerana tidak dapat menghubungi Ahmad Soffian.

Lihat Komen