malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes 1MDB: Apa kata Shukri tentang bukti bagi penjarakan individu terlibat
Diterbitkan:  Jun 8, 2019 5:10 PM
Dikemaskini: 9:15 AM
ADS

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull percaya bahawa tugasnya di suruhanjaya berkenaan telah selesai selepas meletakkannya di landasan yang betul.

“Tugas saya telah selesai, kes telah dituduh di mahkamah, dalam saya senarai yang panjang kes-kes VVIP yang selesai dan dituduh,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Mohd Shukri,58, yang telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum ini bersara awal sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) pada 31 Julai 2016 semasa menyiasat penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Ketika ditanya sama ada siasatan SPRM dalam kes 1MDB dan SRC International mempunyai bukti kukuh untuk memenjarakan individu terlibat, Mohd Shukri berkata siasatan yang lengkap telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

“Berdasarkan apa yang ada, ia (pejabat Peguam Negara) buat keputusan untuk menuduh. Bagi saya, bila suatu keputusan dibuat untuk tuduh, maksudnya DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dah yakin bahawa ada solid evidence (bukti kukuh) atau keterangan untuk dibawa ke mahkamah.

“Kalau DPP tidak yakin, kenapa bawa ke mahkamah. Tugas SPRM hanya siasat dan DPP yang memutuskan,” katanya.

Mohd Shukri turut menegaskan sepanjang perkhidmatannya di SPRM, beliau tidak pernah memberi arahan menutup fail dan semua kes dikendalikan mengikut kedaulatan undang-undang.

"Siapa sahaja cuba halang atau mengganggu jangan layan, teruskan sampai habis kes itu. Soal tuduh atau tidak, itu kuasa pejabat Peguam Negara.

“Tugas SPRM ialah siasat sampai selesai, tiada siapa yang boleh mengganggu tugas SPRM, selesaikan dan hantar pada Jabatan Peguam Negara dan mereka yang akan memutuskan sama ada untuk mendakwa atau tidak, bukan urusan SPRM,” katanya.

Najib sedang dibicarakan berhubung tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada sidang akhbarnya itu, Mohd Shukri juga ditanya mengenai tuduhan beliau  menerima rasuah daripada pemimpin parti politik. Beliau menafikannya dan berkata tuduhan itu tidak berasas.

“Saya merayu pada mereka biarlah saya meninggalkan SPRM dalam keadaan aman.

"Saya tidak mahu lagi fitnah-fitnah yang tidak baik. Biar saya bersama keluarga dengan aman sebab saya telah buat sedaya terbaik mungkin kepada SPRM dan negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen