malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Naib ketua pemuda PKR gesa Latheefa lepas jawatan
Diterbitkan:  Jun 8, 2019 9:19 AM
Dikemaskini: 1:25 AM
ADS

Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Syah Syed Osman menggesa Latheefa Koya melepaskan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM bagi "membuktikan" sikapnya dalam mempertikaikan salah laku dan integriti pelbagai pihak.

"Sebagai individu yang sering mempertikaikan salah laku dan integriti pelbagai pihak, Latheefa harus menzahirkan pendirian beliau dengan menolak pelantikan tersebut.

Ternyata pelantikan tersebut tidak mengikut saluran yang betul tanpa melalui konsultasi JawatanKuasa Khas Pemilihan Parlimen apatah lagi perbincangan dalam Majlis Presiden PH.

"Tambahan lagi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga mengakui beliau melantik Latheefa tanpa perlu merujuk kepada kabinet terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, cara pelantikan Latheefa tidak boleh dijadikan amalan dalam kerajaan PH kerana rakyat akan mempertikaikan ketelusan dalam prosedur pelantikan jawatan agensi kerajaan.

"Kita harus lebih peka dengan kehendak rakyat khususnya dalam menzahirkan janji manifesto seperti yang termaktub dalam Janji ke-14 Buku Harapan dengan jelas menyatakan bahawa di bawah kerajaan PH SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada perdana menteri.

"Justeru itu saya menggesa Latheefa untuk meletakkan jawatan serta merta sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM jika beliau bermaruah," katanya.

Syed Badli membuat kenyataan itu meskipun Ketua Pemuda Amanah Muhammad Faiz Fadzil semalam menggesa agar PH tidak membiarkan kontroversi pelantikan Latheefa menjejaskan kestabilan kerajaan.

Sebaliknya, Faiz menggesa agar Latheefa diberi peluang menjalankan tugas dan mengutamakan usaha PH membasmi rasuah.

Presiden Amanah yang juga merupakan menteri kabinet, Mohamad Sabu semalam berkata beliau yakin perdana menteri akan mengambil perhatian mengenai kritikan terhadap cara pelantikan Latheefa.

Sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berpendapat Dr Mahathir perlu menjawab kritikan berhubung pelantikan itu.

Semalam, Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew menyertai lebih 1,000 orang menandatangani sebuah petisyen dalam talian, yang mendesak supaya peguam Latheefa Koya berundur daripada jawatan ketua pesuruhjaya SPRM.

Selain cara pelantikan tidak melalui kabinet dan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen, pelantikan Latheefa turut mendapat kritikan kerana pernah menjadi ahli PKR serta memegang beberapa jawatan dalam parti itu.

Meskipun Latheefa sudah keluar parti selepas mendapat tahu mengenai pelantikannya dalam SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Latheefa dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebagai menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatannya dipendekkan.

Pelantikan itu berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi kontrak selama dua tahun.

Lihat Komen