malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelantikan Latheefa: Kadang-kadang perlu ada kejutan, kata Dr M
ADS

Pelantikan peguam dan bekas ahli PKR Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mengejutkan ramai pihak, termasuk menteri kabinet dan ahli parlimen PH sendiri.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa yang disifatkannya sebagai berperwatakan tegas, dan keputusan itu dibuat tanpa berbincang dengan kabinet.

Mengulas tentang pelantikan itu, Dr Mahathir mengakui bahawa pelantikan itu mempunyai unsur kejutan.

"Kadang-kadang perkara seperti itu (kejutan) terjadi.

"Sebagai contoh, apabila DAP cadang saya sebagai perdana menteri, itu mengejutkan termasuk kepada saya sendiri.

"Kadang-kadang kita ada kejutan," katanya pada sidang media ketika majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir juga bersetuju bahawa kejutan itu dibuat untuk memastikan menteri kabinet tidak terlalu selesa.

"Mereka tidak boleh terlalu selesa dan fikir apa saja mereka fikir akan diterima," katanya.

Semalam, Latheefa, diumum menjadi ketua pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Dr Mahathir berkata, Mohd Shukri sudah memohon untuk berundur sejak tahun lalu.

"Saya ambil masa untuk cari pengganti. Dia kata dia sudah terlalu lama memegang jawatan itu," katanya.

Pelantikan Latheefa dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan peguam itu kerana sebelum ini merupakan ahli PKR dan pernah memegang jawatan dalam parti.

Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dalam Pelantikan Awam Utama dan menteri kabinet juga mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.

PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji bahawa pelantikan utama dalam agensi termasuk SPRM perlu diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai.


Berita berkaitan

Dr M: Saya sendiri pilih Latheefa, tak bincang dengan kabinet

Azmin yakin pelantikan Latheefa berdasarkan merit

Saifuddin sahkan lantikan Latheefa tidak dimaklumkan kepada kabinet, PKR

J'kuasa parlimen boleh minta k'jaan jelaskan pelantikan SPRM

10 dari 13 ketua pesuruhjaya SPRM dilantik dari luar, kata timbalan


Lihat Komen