Pengiklanan

    Dr M: Saya sendiri pilih Latheefa, tak bincang dengan kabinet

    (Dikemaskini )

    Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa Koya untuk dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

    Pengerusi PH itu juga berkata bahawa keputusan itu dibuatnya tanpa berbincang dengan kabinet.

    "Saya tidak bincang dengan kabinet.

    "Biasanya saya buat keputusan sendiri sebab saya tak perlu minta kebenaran kabinet siapa yang harus saya luluskan," katanya kepada pemberita di rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

    Tambah Dr Mahathir, beliau memilih Latheefa kerana perwatakan peguam itu.

    "Sebab dia sangat tegas, dia kata apa yang betul.

    "Dia tak berlapik, kita perlukan perwatakan yang tegas," katanya.

    Latheefa dilihat seorang yang lantang mengkritik baik BN mahupun PH. Dia juga sering mengetengahkan kes kematian dalam tahanan dan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

    Meskipun ramai pemimpin NGO memuji pelantikannya, sesetengah pihak mempersoalkan latar belakang Latheefa sebagai bekas ahli PKR yang pernah memegang pelbagai jawatan parti.

    Antara jawatan yang pernah dipegang Latheefa dalam PKR adalah sebagai ketua biro perundangan.

    Diminta mengulas lanjut proses pelantikan Latheefa, Dr Mahathir berkata, beliau sudah mendengar pendapat pelbagai pihak sebelum membuat keputusan itu.

    "Saya dengar pelbagai pihak dan saya buat keputusan.

    "[...] Anda perlu dengar pendapat semua orang dan luluskan siapa yang perlu diluluskan. Saya sudah buat ini sekian lama," katanya.

    Jelas Dr Mahathir, beliau tidak bertanya kepada menteri kabinet tentang Latheefa, namun sebaliknya kepada pihak lain yang menurutnya mempunyai pengetahuan tentang perwatakan peguam itu.

    "Saya tak pernah tanya kabinet, saya tanya orang lain yang mempunyai pengetahuan tentang perwatakan orang-orang ini.

    "Dan tak perlu kabinet buat keputusan, kalau kabinet buat keputusan dia mengikatkan saya.  Saya bebas untuk nilai siapa yang dicadang dan dipilih," katanya.

    Latheefa dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM sebagai menggantikan Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

    Pelantikan Latheefa yang diumumkan semalam berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

    Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

    Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dan menteri kabinet juga mendedahkan bahawa mereka tidak dimaklumkan dengan pelantikan itu.

    PH dalam manifesto pilihan rayanya berjanji bahawa pelantikan utama dalam agensi termasuk SPRM perlu diluluskan oleh jawatankuasa parlimen yang sesuai, selain berjanji untuk memastikan tiada lantikan politik.

    Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan janji PH dalam manifesto untuk tidak membuat lantikan politik sebagai tidak adil.

    "Dia sudah letak jawatan (dari PKR), kita tak boleh hukum ahli kita. Ketika kita cuba menang pilihan raya, mereka kerja keras untuk pastikan kita menang.

    "Tapi manifesto kita kata orang yang kerja untuk kita tak boleh pegang jawatan, itu tidak adil.

    "Sudah tentu kita tidak menjadikan mereka ketua jabatan atau syarikat, (tapi) mereka boleh menjadi ahli lembaga (dan) dalam kes tertentu jika mereka layak, kita akan lantik meski mereka terlibat dengan politik," kata Dr Mahathir mengulas pertanyaan pemberita.


    Berita berkaitan

    Pelantikan Latheefa: Kadang-kadang perlu ada kejutan, kata Dr M

    Dr M: Saya sendiri pilih Latheefa, tak bincang dengan kabinet

    Azmin yakin pelantikan Latheefa berdasarkan merit

    Saifuddin sahkan lantikan Latheefa tidak dimaklumkan kepada kabinet, PKR

    J'kuasa parlimen boleh minta k'jaan jelaskan pelantikan SPRM

    10 dari 13 ketua pesuruhjaya SPRM dilantik dari luar, kata timbalan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih